Beliau berkata, kerajaan negeri itu juga akan membantu Kementerian Pendidikan dari segi pelaksanaan serta melatih guru-guru mengajar kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris.

“Insiatif oleh kerajaan negeri, Jabatan Pendidikan Negeri dan beberapa universiti di Sarawak akan memastikan guru-guru mendapatkan latihan menyeluruh dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau berkata perkara tersebut merupakan antara isu yang dibincangkan semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong dan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Dr Azhar Ahmad.

Berkaitan dengan bayaran kontra RM1 bilion untuk membaik pulih sekolah daif di Sarawak seperti dipersetujui sebelum ini, Maszlee berkata pelaksaaan rancangan itu akan dibincangkan secara terperinci dengan ketua menteri itu.

Sementara itu, Manyin berkata kerajaan negeri telah mengendalikan kursus untuk mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris melibatkan lebih 400 guru sekolah rendah pada tahun ini.

“Beberapa daripada guru tersebut akan menjadi tenaga pengajar kepada guru-guru di peringkat daerah masing-masing dan kerajaan negeri telah berbincang dengan universiti tempatan untuk melatih guru-guru kita dengan inisiatif tersebut dibiayai oleh kerajaan negeri,” katanya.- BERNAMA