Pengetua SMK Datok Lokman, Latifah Mohd. Yusof menyifatkan pergaulan semasa belajar dan melakukan pelbagai aktiviti luar bilik darjah seperti kelab, persatuan, permainan, sukan dan sambutan perayaan seperti ini menanam­kan sikap saling menghormati dan tolak ansur antara kaum.

“RIMUP khas sempena perayaan kali pertama dianjurkan untuk tahun ini pada 14 Februari lalu bagi sambutan Tahun Baru Cina manakala Kali ini pula sempena Hari Raya Aidilfitri yang menggabungkan pelbagai aktiviti budaya Melayu, Cina serta India menerusi persembahan tarian, permainan tradisional dan pelbagai jenis makanan.

“Program sempena Deepavali pula akan diadakan pada awal November, walaupun dalam kekangan menjelang peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM),” katanya yang bangga dengan kehadiran Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun sebagai tetamu rasmi.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa turut mencuba sendiri susunan kolam, permainan Batu Seremban dan juga baling guli sebelum menyertai hadirin dalam jamuan dengan pelbagai juadah perayaan.

Keterujaan sambutan bukan setakat dalam kalangan pelajar, malah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMK Datok Lokman, Zulkifle Mohd. Sidek turut positif mengenai kesannya terhadap pembentukan perpaduan yang lebih jitu kepada generasi mendatang.

“Memupuk perpaduan di sekolah dapat memberi kesan baik kepada pelajar sehingga mereka menginjak dewasa kerana itu faktor utama terhadap keamanan dan perkembangan ekonomi negara,” katanya lagi.