Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin berkata, penganjuran program tersebut bertujuan bagi meningkatkan pencapaian akademik pelajar dalam UPSR dan SPM terutama pelajar daripada kumpulan prestasi sederhana dan rendah, khususnya bagi pelajar luar bandar.

Katanya, program inspirasi tersebut melibatkan 152 daerah daripada 14 negeri dengan jumlah keseluruhan 3,423 sekolah terlibat.

“Pelajar akan diberi tip dan teknik menjawab soalan UPSR dan SPM sebelum peperiksaan tersebut berlangsung yang dikendalikan oleh guru-guru pakar dan cemerlang di setiap daerah yang terlibat.

“Murid-murid ini yang keba­nyakannya dari kawasan luar bandar serta sebahagian di ban­dar diharap mendapat keputusan le­bih baik bagi meneruskan pengajian ke institusi pengajian tinggi sekali gus dapat menaikkan taraf pendidikan di kawasan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pogram Inspirasi Yapiem, di sini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengurus Besar Pemasaran Kumpulan Utusan, Rosman Zulkifli dan Pengarah Kanan Pembangunan Sosioekonomi dan Perhubungan Korporat Yapiem, Mohammad Zamri Zakaria.

Mengulas lanjut, Abibullah ber­kata, program itu menggunakan akhbar sisipan Utusan Malaysia, Tutor yang khusus dikeluarkan ba­gi calon UPSR dan SPM. Soalan-soalan yang dikeluar­kan dalam Tutor digubal guru pakar dan cemerlang yang sudah tentu kandung­an dapat membantu murid.

“Kita mengedarkan lebih 1.2 juta naskhah Tutor kepada murid-murid yang terlibat bermula April hingga Julai depan bagi UPSR, manakala Tutor SPM akan mula diedarkan pada Jun hingga September depan. Selepas itu kita akan mengadakan pertemuan terakhir dengan membawa penceramah bagi memberi motivasi,” jelasnya.