Wan Nur Nisa Nabihah yang merupakan pelajar daripada jurusan Tekstil Fesyen, Fakulti Teknologi Kreatif & Warisan (FTKW) menggondol pingat emas sempena Pertandingan Tekstil dan Fashion (Texfas) berkenaan.

Manakala tempat kedua, dimenangi Nur Syahirah Isma Rosman dan tempat ketiga, Nur Farhanah Mohd. Yusoff, masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa berserta sijil penghargaan.

Majlis penyampaian hadiah disem­purnakan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Husaini Omar.

Konsep busana yang ditonjolkan oleh Wan Nur Nisa Nabihah menyerlah dengan paparan berkonsepkan legenda agung Negeri Kelantan yang terkenal dengan keberanian dan kelembutan sekali gus berjaya menga­lahkan 38 peserta lain.

“Saya juga meletakkan motif ketam guri sebagai motif yang mampu memberi kelainan pada batik itu sendiri, tambahan pula pada hari ini kita dapat lihat ba­nyak motif batik yang digunakan adalah sama sahaja.

“Justeru, dalam mencari ke­lainan dan identiti tersendiri saya mengambil unsur-unsur sejarah dan menerapkan ukiran tradi­sional Kelantan dalam menghasilkan batik yang sekali gus dapat menambah nilai pada batik itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga bijak mengolah warna daripada rona ‘ultraviolet’ gelap yang mana warna gelap dipilih dengan menerapkan elemen sejarah The Dark Side of Cik Siti Wan Kembang iaitu menceritakan kisah keperibadian puteri raja itu sebelum memeluk agama Islam.

Beliau memberi nama rekaan busana kreatif itu dengan nama The Spiritual Journey of Cik Siti Wan Kembang sebagai inspirasi untuk mengangkat keperibadian raja yang tersohor di zaman peme­rintahan raja-raja Melayu Kelantan.