Reemy memecah kekangan dalam kalangan komunitinya yang sukar untuk memberi perhatian terhadap pelajaran ketika resam kehidupan tradisi masih menebal.

Remaja itu yang memulakan alam persekolahan ketika berusia 9 tahun ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) setelah mendapat keputusan yang baik dalam pepriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan baru-baru ini.

“Sebelum ini ada dengar desas desus tentang UniSZA menawarkan tempat kepada saya dan hari ini diumumkan sendiri oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman tadi. Memang suka sangat dan saya akan buat yang terbaik.

“Saya bercita-cita menjadi guru dan balik mengajar anak-anak masyarakat Orang Asli,” katanya kepada pemberita semasa Program Ramah Mesra Menteri Besar bersama Masyarakat Orang Asli Sungai Berua, Hulu Telemong hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat.

Tambahnya lagi, walaupun ada perasaan rendah diri dalam pergaulan di luar perkampungan tetapi dia tetap semangat untuk berjaya dalam pendidikan dengan tidak mengabaikan keas tambahan di samping sentiasa bertanyakan guru.

Reemy juga aktif pelbagai aktiviti di sekolah dan menjadi johan dalam pertandingan azan dalam Program Dakwah Bilal SJKC dan SK Orang Asli dan naib johan Pertandingan Pidato Bahasa Melayu peringkat Sekolah Rendah (Kategori Murid Orang Asli) peringkat negeri 2012.

Sementara itu, Ahmad Razif berharap kejayaan Remy akan menjadi contoh dan ikutan kepada anak-anak Orang Asli yang lain untuk memajukan diri melalui pelajaran.

Dalam majlis tersebut juga, beliau turut meluluskan peruntukan sebanyak RM260,000 untuk membaik pulih jalan yang runtuh dan sebuah van untuk kegunaan anak-anak Orang Asli ke sekolah. - UTUSAN ONLINE