Ketua Pegawai Eksekutif Kolej YPC, Datuk Dr. Noel Ro­bert berkata, ia pertama kali dianjurkan bagi memberi maklumat dan peluang kepada pelajar yang berkelayakan memohon biasiswa tersebut.

Menurutnya, program empat hari itu memboleh­kan pelajar lepasan SPM memohon biasiswa yang ditawarkan di ruang legar ibu pejabat korporat Utusan Malaysia di Kuala Lumpur.

“Biasiswa Utusan Malaysia-YPC mula ditawarkan bermula tahun 2012 bertujuan membantu pelajar bumiputera yang berpontensi dalam bidang akademik tetapi mereka kurang mampu dari segi kewangan untuk me­lanjutkan pengajian,” katanya ketika ditemui di pejabatnya dekat Cheras, baru-baru ini.

Menurutnya, tawaran biasiswa tersebut bagi pelajar yang berhasrat menyambung pengajian Chartered Accountant Pathway yang menawarkan empat program pengajian ijazah iaitu e-business technology, multimedia compu­ting, accounting finance dan business management.

“Tawaran biasiswa ini khusus untuk pelajar lepasan SPM yang mendapat lima kredit termasuk Matematik dan Bahasa Inggeris dan layak mengikuti Kursus Foundation selama setahun di kolej itu.

“Usaha ini seiring dengan moto YPC sebagai peneraju pendidikan yang berkualiti dengan yuran pengajian yang mampu dibayar dan usaha ini juga sebahagian daripada tanggungjawab sosial YPC kepada masyarakat,” katanya.

Kemudahan canggih yang di­se­diakan di kampus Kolej YPC an­taranya termasuklah dewan ku­liah berhawa dingin dilengkapi skrin projektor, perpustakaan yang boleh memuatkan 500 pelajar, makmal komputer, makmal animasi digital, dewan seminar dan kemudahan jalur lebar.

Selain itu, katanya, pelajar yang terpilih berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara dengan kerjasama Universiti Liver­pool John Moores, United Kingdom.

“Oleh itu, kita mahu pelajar tidak melepaskan peluang keemasan ini dengan membuat permohonan segera pada program Hari Terbuka yang akan diadakan nanti malah kelulusan segera diberikan kepada pelajar yang layak serta memenuhi kriteria permohonan,” katanya.