Berangkat sama pada majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan, Datuk Kamel Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengarah Unimap, Datuk Mohd. Sofi Osman.

Kolej kediaman tersebut yang dibina pada 2013 dan siap tiga tahun selepas itu kini dimasyhurkan dengan nama Kolej Kediaman Tuanku Tengku Fauziah bersempena nama Raja Perempuan Perlis.

Kolej berkenan yang menelan kos sebanyak RM130 juta itu adalah hasil pembiayaan Syarikat Budaya Positif Sdn. Bhd.

Sementara itu, ketika bertitah pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Sirajuddin mengingatkan kepada pihak universiti agar memastikan kolej-kolej kediaman sentiasa menjalankan program dan aktiviti berfaedah.

Selain itu, titah baginda, kolej kediaman juga menjadi tempat untuk memupuk perpaduan antara kaum dengan berpandukan toleransi dan kefahaman antara pelajar berbilang bangsa serta agama.

“Pada masa sama, beta juga mengucapkan terima kasih kepada Syarikat Budaya Positif Sdn. Bhd. yang telah membiayai pembinaan kolej kediaman ini.

“Saya yakin bahawa pelaburan dan inisiatif oleh pihak swasta dalam usaha sama projek pembangunan kerajaan merupakan satu kaedah yang baik dalam menghasilkan projek berkualiti dan menjimatkan kos,” titah baginda. -UTUSAN ONLINE