Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah sukan berkenaan semakin mendapat sambutan, apatah lagi satu kejohanan peringkat dunia akan diadakan di negara ini tidak lama lagi.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyampaian hadiah sempena ‘Klinik Woodball anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis’ yang diadakan di Lapangan Woodball Dataran Sheikh Ahmad Kangar petang semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke program bagi memperkenalkan sukan berasal dari Taiwan yang melibatkan penyertaan seramai 80 pegawai dari Jabatan Pendidikan Negeri seluruh negara itu disambut oleh Pengarah JPN Perlis, Izmi Ismail dan Timbalan beliau, Azman Ghazali.

Turut hadir mengambil bahagian ialah Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Shaari Osman dan Timbalan Pengarah Bahagian Sukan KPM, Zainal Abas.

Baginda yang juga merangkap Penaung Diraja PWNPs turut mencadangkan agar kejohanan woodball pertama melibatkan penyertaan kesemua Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri anjuran Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) dapat dilangsungkan di negeri Perlis pada tahun hadapan bersekali dengan Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-9 atau lebih dikenali dengan ‘The 9th World Cup Woodball Championship Perlis 2020 (WCWC Perlis 2020)’.

Untuk rekod, tarikh WCWC Perlis 2020 yang akan berlangsung di Gelanggang Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra ialah pada 24 hingga 30 Julai 2020.

Dalam pertandingan yang dilangsungkan pada petang semalam, Selangor muncul juara, negeri tuan rumah Perlis di tempat kedua manakala Terengganu dan Pahang berkongsi tempat ketiga. -UTUSAN ONLINE