Justeru, titah baginda, setiap mahasiswa perlulah sentiasa bersedia menghadapi sebarang bentuk tugasan dan juga cabaran yang mendatang.

“Selain daripada itu, mulakan sesuatu pekerjaan yang ingin dilakukan dengan niat beroleh keberkatan di dunia dan di akhirat.

“Tanamkan niat yang baik setiap hari sebelum ke kuliah serta lakukan apa jua kebaikan kerana Allah SWT,” titah baginda.

Demikian titah baginda semasa berkenan berangkat menghadiri Majlis Tautan Ukhuwah dan Makan Malam Anak Perlis di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Berangkat sama anakanda baginda, Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.

Turut hadir Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding dan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor dan Yang Dipertua Persatuan Ikatan Mahasiswa Perlis (Imaps) Jordan, Naufal Akmal Azman.

Tuanku Syed Faizuddin seterusnya bertitah, menasihatkan para mahasiswa di negara ini supaya menghormati tenaga pengajar, berbuat baik sesama rakan dan mencintai kebersihan kampus sebagai tanda menghargai kemudahan yang ada.

Di majlis tersebut, baginda berkenan menyerahkan RM15,000 sebagai peruntukan aktiviti tahunan kepada Imaps Jordan untuk aktiviti peningkatan akademik dan kebajikan pelajar Perlis.

Pada masa yang sama, setiap di antara 29 orang pelajar Perlis di Jordan dikurniakan sebanyak RM1,000 daripada MAIPs.

Untuk rekod, tahun ini , seperti mana tahun lalu MAIPs memperuntukkan sebanyak RM11,000 untuk sumbangan dermasiswa MAIPs kepada semua pelajar Perlis di Jordan.

Para hadirin turut mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mohd. Asri. - UTUSAN ONLINE