Terletak di The Curve, Mutiara Damansara, Selangor, ia merupakan satu-satunya pusat kecemerlangan minda seumpamanya di negara ini yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak berusia dua hingga 12 tahun menerusi tiga program utama iaitu penjagaan harian, selepas sekolah dan hujung minggu.

LINE MILLER
LINA MILLER 

Guru Besarnya, Lina Miller berkata, penjagaan harian untuk kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun dari pukul 9 pagi hingga 4 petang atau separuh hari bermula Isnin ke Jumaat, di mana asuhan menggunakan British National Curriculum dan menerapkan pembelajaran berasaskan aktiviti.

“Kami membina asas perkembangan sosial dan fizikal selain kemahiran bahasa dan komunikasi yang membolehkan anak-anak anda mendapat manfaat untuk pendidikan masa depan mereka. Kajian menunjukkan program prasekolah berkualiti memberi kesan prestasi akademik dan sosial apabila membesar.

“Program selepas sekolah pula berjalan setiap hari biasa dengan sesi dua jam dari 4.30 hingga 6 petang atau 6.30 petang ke 8 malam untuk kanak-kanak enam hingga 12 tahun. Kita menerapkan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Matematik dan Seni (STEM-A) pada hari berbeza dengan sesi yang praktikal, menyeronokkan dan penuh informasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata Miller lagi, program ketiga adalah hujung minggu untuk murid lima hingga 12 tahun setiap Sabtu dan Ahad dengan tiga sesi iaitu 10.30 pagi hingga 12 tengah hari, 1.30 petang hingga 3 petang yang turut menekankan STEM-A namun bukan ulangan kepada program selepas sekolah.

Ujarnya, waktu yang anjal dan kebebasan kepada ibu bapa adalah kelebihan Smart Start Stars bagi setiap program di mana penjagaan harian adalah 60 jam (separuh hari) dengan kadar RM1,000 atau 120 jam pada RM1,500, asalkan setiap sesi enam jam sehari dihabiskan dalam tempoh 90 hari.

“Bagi program selepas sekolah adalah 40 jam pada kadar RM1,000 iaitu 20 sesi yang sah dalam tempoh sama dan program hujung minggu sebanyak tujuh sesi dengan percuma satu sesi tambahan pada kadar RM700. Ibu bapa yang berminat boleh menghantar anak mereka untuk kelas percubaan sama ada penjagaan harian pada kadar RM150 untuk separuh hari atau RM250 untuk sehari penuh.

“Kebanggaan kami adalah kelainan dalam gaya pembelajaran mengikut kategori kanak-kanak sama ada visual, auditori atau kinestetik. Dari segi harga ia setanding dengan yuran tuisyen peribadi namun kami mempunyai lebih banyak material dan perkembangan sosial di samping jaminan keselamatan berbanding di lot-lot rumah kedai,” tambahnya. - UTUSAN ONLINE