Menyedari akan kepentingan tersebut, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) komited melaksanakan Program Menabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) 2018 agar objektifnya dapat dicapai ramai pihak.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, seperti yang diketahui umum, PTPTN bukanlah sekadar berfungsi memberi pinjaman semata-mata malah turut menjadi institusi yang menyediakan skim penabungan yang terbaik.

"Menerusi skim tersebut, orang ramai berpeluang menabung serendah RM30 sebulan bersamaan RM1 sehari dan ia secara tidak langsung boleh memupuk budaya menabung yang lama kelamaannya boleh menjadi tabiat kita semua.

"Selain itu, pemilik akaun yang menabung dengan SSPN turut menerima pelepasan taksiran cukai sehingga RM6,000 setahun dan pendeposit juga akan diberi pelindungan sehingga RM1 juta bergantung kepada pakej yang dipilih dalam SSPN-i," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program Menabung SSPN 2018 di pusat beli-belah One Utama, dekat sini.

Turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Wan Ahmad Wan Yusoff serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad, Mohd. Muazzam Mohamed.

Ujar Wan Saiful lagi, PTPTN juga buat julung kalinya mengadakan program tersebut bermula hari ini hingga Ahad sempena menyambut Hari Tabungan Sedunia yang akan diraikan pada 31 Oktober nanti.

"Hanya dengan simpanan serendah RM50 pula, pendeposit yang membuat simpanan dengan SSPN-i Plus secara automatik layak menyertai Cabutan WOW! SSPN-i Plus 2018 yang menawarkan hadiah berjumlah RM2 juta," katanya.

Program itu turut menyaksikan Bank Islam Malaysia Berhad memperluaskan kerjasama strategiknya melalui usaha penjenamaan PTPTN dengan memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN.

Selain itu, dua pelanggan setia yang membuat simpanan melalui SSPN-i Plus turut diberi penghargaan dengan menerima Pakej Percutian Keluarga Dalam Negara bernilai RM4,000 dan wang tunai sebanyak RM1,500 setiap orang.

Dalam masa sama, tujuh pemenang saguhati menerima pakej yang sama dengan nilai RM1,500 dan wang tunai sebanyak RM500 setiap orang. - UTUSAN ONLINE