Jumlah kemasukan kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Kolej Komuniti dan beberapa institusi lain bagi melanjutkan pengajian yang terus meningkat, mencerminkan keyakinan masyarakat makin meluas  terhadap PSMZA dan institusi politeknik keseluruhannya.

PSMZA dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, kalangan pelajar terpilih itu akan mengikuti program di empat jabatan induk iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam (JKA),  Jabatan Kejuruteraan Makanikal (JKM) , Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE) dan di Jabatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi (JTMK).

"Mereka telah mendaftar pada penghujung bulan lalu manakala ibu bapa mengikuti sesi taklimat mengenai perjalanan pengajian dan pentadbiran yang disampaikan oleh Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail dan Timbalan Pengarah Akademik, Ali Mamat.

"Kesemua penuntut ditempatkan di kamsis PSMZA dan mengikut Minggu Transformasi Siswa selama empat hari,"ujar kenyataan itu.

 Mohd Fikri ketika berucap dalam sesi penutup program itu berkata, politeknik tidak seharusnya masih dipandang rendah kerana telah melahirkan ramai kalangan profesional dan tenaga mahir dalam pelbagai lapangan.

"Statistik kadar kebolehpasaran graduan yang tinggi juga membuktikan lepasan PSMZA mendapat permintaan yang tinggi daripada pihak industri.

“Politeknik semakin menjadi pilihan ramai kerana institusi itu menekankan Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan sektor pekerjaan terus berdaya saing,” kata beliau.-UTUSAN ONLINE