Pengerusi Biro Pendidikan Parlimen Padang Rengas, Cikgu Mohamad Azir Ismail berkata, skop bidang kemahiran amat luas merangkumi masakan, pertanian, perhotelan dan perniagaan.

“Kemahiran bukan bidang kelas rendah tetapi mempunyai permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja malah boleh mencipta peluang pekerjaan untuk rakan sebaya dan orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat Program Moh Orang Muda: Belajar dan Bekerja anjuran Gerakan Belia 4B Padang Rengas dengan Biro Pendidikan Parlimen Padang Rengas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Perak, Padang Rengas, Perak, baru-baru ini.

Antara pengisian program termasuklah sesi wacana ilmu, pameran, demonstrasi jahitan dan masakan, ceramah motivasi kerjaya dan kemahiran.

Program ini turut mendapat kerjasama Pusat Giat MARA Kuala Kangsar, Kolej Komuniti Chenderoh dan Pusat Kerjaya Amanjaya, Pejabat Menteri Besar Perak.

Dalam pada itu, kata Moha­mad Azir, program seperti ini dapat mendekatkan kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan dan Parlimen Padang Rengas dengan generasi muda sekali gus membuktikan mereka tidak dipinggirkan.