Program selama dua hari satu malam itu merupakan program lanjutan untuk seluruh barisan MPP yang terpilih selepas memenangi Pilihan Raya Kampus Politeknik Merlimau pada 20 Disember lalu.

Pengarah Program, Mohamad Hasbullah Mustafa berkata, program anjuran Unit Pengurusan Psikologi dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Dan Pembangunan Pelajar, Politeknik Merlimau itu merupakan acara tahunan sebagai medan mendidik serta melatih pelajar memperkasakan aspek kepimpinan, personaliti dan komunikasi.

“Objektif program adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta tentang peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pemimpin pelajar di kampus, melatih kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi serta membentuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan barisan pimpinan baharu MPP,” katanya.

Jelas Mohamad Hasbullah, pelbagai aktiviti turut disusun oleh pihak jurulatih kem dan urusetia bagi mencapai objektif yang digariskan termasuk latihan keyakinan air, berkayak, aktiviti latihan dalam kumpulan, pengucapan awam, masakan rimba, pertandingan bola api dan aktiviti pergerakan lain.

“Semua aktiviti ini disusun bagi melahirkan pemimpin yang mempunyai daya tahan menghadapi tekanan, sentiasa proaktif dan sistematik dalam tindak-tanduk mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Politeknik Merlimau, Mohamad Nazri Ismail yang merasmikan majlis penutup program turut menasihatkan barisan baharu MPP Politeknik Merlimau agar dapat membahagikan masa dengan baik antara akademik dan tanggungjawab sebagai pemimpin.

“Sikap terpuji harus diamalkan agar setiap daripada pemimpin yang dipilih akan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain.

“Peranan anda sebagai pemimpin peringkat kampus sangat penting iaitu sebagai jambatan penghubung antara pihak pengurusan dengan pelajar dalam menyalurkan maklumat dan isu-isu yang berkaitan,” tambahnya.