Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, program yang masih dalam peringkat perancangan itu dikhususkan untuk para pelajar tingkatan empat dan tingkatan lima.

Menurut beliau, inisiatif itu diambil berikutan tempat yang terhad di kolej-kolej vokasional sehingga menyebabkan ramai pelajar yang tidak dapat menyertai bidang tersebut.

“Bayangkan, sebanyak 100,000 pelajar yang memohon masuk ke kolej vokasional tetapi hanya 30,000 orang sahaja yang boleh diambil setiap tahun.

“Kementerian ketika ini menetapkan peningkatan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sehingga 20 peratus pelajar menceburi bidang vokasional menjelang 2020, jadi untuk mengharapkan kolej vokasional sahaja sememangnya tidak mencukupi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Jalinan Muhibbah Hong Leong Yamaha Motor bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh dekat sini semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor, Datuk Jim Khor dan Pengetua SMK Bukit Rahman Putra, Ahmad Ismail.

Hasil kerjasama tersebut, seba­nyak lima buah motosikal dan peralatan disumbangkan kepada SMK Bukit Rahman Putra selain menyediakan latihan industri bagi memudahkan para pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mempelajari bidang automotif.

Tambah Ahmad Tajudin, hubungan antara sekolah dengan industri amat penting bagi mendedahkan para pelajar dengan persekitaran tempat kerja dan memberi peluang pekerjaan pada masa akan datang.

“Pelajar-pelajar dapat belajar tentang motosikal dan bagaimana ia berfungsi malah mempelajari aspek disiplin di tempat kerja sekali gus mampu meningkatkan kualiti di tempat kerja apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan kelak,” jelasnya.

Beliau turut menyarankan sekolah-sekolah lain untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak industri agar lebih banyak pelajar yang boleh menerima manfaat da­ripada program latihan vokasional yang dijalankan.