Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Melayu (Malaysia)Berhad, Hazwan Hairul berkata, penataran ke sekolah adalah penerangan asas tentang pertandingan sebagai salah satu usaha meningkatkan penyertaan selain promosi di akhbar dan laman sosial.

“Sesi penataran berbentuk bengkel ini bertujuan memberi peluang kepada pelajar mempelajari cara membuat video pendek yang menarik dan menepati tema.

“Sebelum ini terdapat pemenang dari luar Lembah Klang seperti Johor dan Sarawak jus­teru kami amat mengalu-alukan penyertaan daripada pelajar sekolah menengah seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program penataran pertandingan video pendek #muhibah di Sekolah Me­nengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 16, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Secara umum, setiap video penyertaan untuk pertandingan tajaan syarikat Orando Holdings Sdn. Bhd. ini mestilah berdurasi dua minit dan menepati tema yang diberikan iaitu muhibah.

Maklumat lengkap kriteria pemilihan pemenang dan syarat penyertaan boleh dirujuk di laman rasmi www.muhibah.my atau hubungi Unit Penjenamaan Kumpulan Utusan di talian 011-19472062.

Pertandingan video pendek #muhibah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan ini hanya terbuka kepada pelajar sekolah menengah di seluruh negara berlangsung selama setahun dari 1 Januari lalu hingga 31 Disember tahun ini.

Empat video terbaik akan di­pi­lih sebagai pemenang bulanan yang akan memperoleh wang tunai RM1,000 setiap satu manakala 10 video lagi menerima hadiah saguhati berupa langanan e-paper Utusan Malaysia dan tiket taman tema dan Sky Tower Melaka.

Setakat ini, enam buah sekolah telah mengikuti taklimat penataran untuk pertandingan tersebut yang disifatkan oleh pentadbir dan guru penyelarasnya sebagai pendekatan yang kreatif dalam memupuk perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Sekolah itu ialah SMK Convent Bukit Nanas, SMK Puteri Titi­wang­sa, SMK Sungai Besi, Sekolah Menengah Sains Alam Shah, SMK Cochrane dan SMK Seksyen 16.

Sementara itu, Guru Kanan Mata Pelajaran Teknik dan Vokasional SMK Seksyen 16, Mohamad Khamidon Sadi berkata, menerusi pertandingan itu, golongan pelajar akan lebih memahami dan menghayati maksud sebenar perpaduan kaum.

“Pemilihan pelajar juga adalah tepat kerana golongan ini adalah generasi pewaris negara,” kata­nya.

Beliau menambah, program ini sangat baik kerana secara langsung dan tidak langsung dapat memupuk serta memberi kefahaman yang lebih jelas berkaitan perpaduan kepada pelajar ketika mereka dalam proses menyediakan video pendek #muhibah.

Untuk rekod, pemenang bagi bulan Januari ialah Five Productions dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara Rini, Johor; SOV Productions dari SMK Muara Tuang, Sarawak dan kumpulan Weirdos dari SMK Taman Desa Skudai, Johor.