Presidennya, Mohd. Alif Anas Md. Noor berkata, pihaknya juga melahirkan kegusaran dengan tindakan kerajaan yang cuba menyalutinya dengan terma ‘one-ff’ apabila menawarkan sebanyak 2,200 dan 1,000 tempat masing-masing kepada pelajar India dan Cina bagi pengambilan pada tahun lalu.

Tegasnya, tiada jaminan kaedah itu tidak akan digunakan lagi oleh pihak Kementerian Pendidikan pada tahun mendatang kerana tiada rundingan dilakukan bersama badan tertentu sebelum keputusan dibuat.

“GPMS amat kecewa dengan keputusan kementerian yang dibuat secara terburu-buru dan tidak berunding dengan pemegang-pemegang taruh seperti ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pendidikan Melayu kerana semangat penubuhan Program Matrikulasi adalah membantu anak-anak Melayu dan Bumiputera mengikuti pengajian prauniversiti bagi menyambung pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda.

“Kerajaan lepas telah membuka kuota 10 peratus daripada peruntukan tempat di Program Matrikulasi kepada kaum-kaum lain untuk membantu mereka memenuhi keperluan melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Justeru, tiada keperluan lagi untuk menambah tempat tersebut memandangkan bahawa bilangan populasi Bumiputera semakin meningkat dan ramai dalam kalangan mereka memerlukan bantuan program prauniversiti dan seterusnya mengikuti pengajian di universiti,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan bahawa penawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam Program Matrikulasi adalah inisiatif secara ‘one-off’ bagi tahun lalu.

Perkara itu juga berdasarkan kepada keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi selain pengambilan yang dibuat masih berlandaskan sistem meritokrasi. - UTUSAN ONLINE