Program Asasi yang ditawarkan UTM adalah satu pilihan alternatif dalam saluran pendidikan prauniversiti selain matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan lain-lain program asasi yang diiktiraf di negara ini.

Program tersebut diwujudkan bagi mempersiapkan pelajar dengan laluan pendidikan lanjutan ke program-program peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTM ataupun di mana-mana universiti awam dan swasta, sekiranya mereka membuat pilihan untuk meneruskan pengajian dalam bidang sains, kejuruteraan, teknologi dan sains sosial.

Melalui program Asasi UTM, pelajar akan mengikuti pengajian selama satu tahun secara sepenuh masa di kampus induk UTM di Johor Bahru.

Mata pelajaran yang ditekan adalah seperti Fizik, Kimia, Matematik, Bahasa Inggeris dan beberapa lagi mata pelajaran yang berkaitan dengan keperluan pembelajaran dalam fakulti.

Sesi pembelajaran sangat padat dan mampan, bertujuan memberi pendedahan positif kepada pelajar yang akan memasuki fakulti pada tahun berikutnya.

Namun, penglibatan pensyarah yang mahir dalam bidang masing-masing, menjadikan sesi pem­belajaran menjadi lebih mudah sekali gus membolehkan pelajar meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.

Di akhir pengajian, pelajar mampu meningkatkan pemahaman dalam bidang sains yang merupakan lanjutan daripada persekolahan menengah seperti yang terdapat dalam buku-buku teks lanjutan.

Pelajar juga mampu mengaplikasikan pengetahuan dan pemahaman dalam pembelajaran serta mahir berkaitan penggunaan data untuk bertindak secara jelas kepada permasalahan yang kritikal dan kompleks.

Selain itu, pelajar turut didedahkan dengan ilmu berkomunikasi yang berkesan dan menterjemahkan pemahaman serta ke­mahiran dalam bentuk ilmiah kepada rakan serta penyelia mereka.

Sementara itu, keistimewaan Program Asasi UTM telah mendorong pihak Kolej Mara menjalin kerjasama dengan UTM bagi memperkukuhkan silibus khusus dalam bidang berkaitan.

Malah, Program Pembangunan Bakat Muda Lepasan SPM 2017 (YTP) khususnya di bawah kendalian Mara turut menawarkan program Asasi UTM kepada pelajar-pelajar tajaan mereka di Kolej Mara Banting (KMB) dan Kolej Mara Seremban (KMS) sebagai laluan bagi meneruskan pengajian dalam mana-mana program Sarjana Muda di UTM.

Kelebihan itu sekali gus mendorong ramai lepasan SPM memilih Program Asasi UTM apabila menyambung pengajian mereka di universiti itu. Tambahan pula, yuran pengajiannya amat berpatutan, malah merupakan yang termurah berbanding universiti awam lain.

UTM juga menawarkan persekitaran kampus yang kondusif dan rangkaian jalinan rakan sebaya yang luas bagi mewujudkan suasana pembelajaran harmoni serta selesa.

Universiti turut menyediakan fasiliti yang canggih dengan menyediakan peralatan terkini dan makmal penyelidikan bertaraf dunia untuk kegunaan pelajar. Kemudahan tersebut membantu melahirkan pelajar berkualiti khususnya dalam bidang kejuru­te­raan dan sains.

Bagi memudahkan lagi pelajar menjalani sesi pengajian, UTM mewujudkan sistem e-pembelajaran yang komprehensif agar mereka tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran.

Dalam pada itu, UTM menyediakan perpustakaan digital terbesar bagi tujuan penyelidikan dan pencarian maklumat selain membantu pelajarnya dalam sesi pembelajaran.

Paling penting, universiti mem­punyai tenaga pengajar yang berpengalaman luas dan berkelayakan untuk membimbing pelajar-pelajar agar mereka mampu bergerak seiring dalam mencapai hasrat universiti untuk melahirkan mahasiswa berkualiti.