Bangunan dua tingkat  dengan kos RM8.3 juta, di tapak seluas hampir tiga hektar  itu, dan dijangka siap pada Julai 2019 bakal mewujudkan suasana lebih kondusif dan efektif  kepada lebih 70 kakitangannya yang selama ini menumpang di sebuah bangunan lama terletak di Sekolah Kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi negeri, A. Latiff Awang menyifatkannya  sebagai pemangkin pembangunan pendidikan di daerah ini, di samping bakal mencorak  tanda aras kecemerlangan  para pelajar lebih tinggi pada masa hadapan.

Katanya, perkembangan ini adalah selaras dengan tahap pencapaian  akademik di daerah ini yang pernah muncul antara daerah terbaik dalam keputusan peperiksaan Sijil  Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM- dari segi PNGK ) di negeri ini.

“Kita berharap dengan adanya bangunan yang lebih kondusif dan efektif, tahap pencapaian akademik para pelajar juga semakin cemerlang melalui pemantauan berkesan dan pelbagai perancangan aktiviti bersesuaian,” katanya merujuk kepada  PPD Marang, satu-satunya daerah di negeri ini yang tidak mempunyai bangunan sendiri.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan  menyatakan demikian ketika berucap  dalam Majlis Pecah Tanah  Projek Pembinaan PPD Marang baru-baru ini yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

PPD Marang memberikan perkhidmatan kepada 21,047 orang murid, 2,099 orang guru, dan 43 buah sekolah di samping secara tidak langsung pula kepada 105,100 orang penduduk.

 Katanya,  PPD yang berperanan ke arah memperkasakan sekolah dan murid dapat menyumbang ke arah impak besar kemajuan pendidikan dan pembangunan masyarakat.

Oleh itu katanya, memang sesuai projek pembinaan bangunan baharu PPD Marang diberikan perhatian bagi memastikan kemenjadian para pelajar di daerah ini dalam pelbagai bidang khususnya akademik dan kokurikulum dapat ditingkatkan.

Beliau memberitahu, projek pembinaan PPD Marang akan dibangunkan dalam dua fasa di mana fasa pertama melibatkan pembinaan bangunan yang menempatkan pentadbiran serta bangunan sokongan lain manakala fasa kedua pula melibatkan sebuah dewan serbaguna.

"Lokasi projek ini amat strategik terletak di kawasan Bandar Marang, bersebelahan dengan Pejabat Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu dan berhampiran pula dengan beberapa pejabat kerajaan lain bagi memudahkan masyarakat berurusan,"ujarnya.-UTUSAN ONLINE