Program menerangkan penggunaan aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia yang tersedia dalam tablet itu berlangsung selama empat hari me­li­batkan 204 orang guru dari 102 buah sekolah di seluruh Manjung.

Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Mohamad Akhir Abdul Latif berkata, kolaborasi antara bidang media dan pendidikan ini selari dengan inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

“Tahniah kepada Utusan Malaysia atas kerjasama yang bakal mempercepat elemen pembe­lajaran abad ke-21 (PAK-21) dan memenuhi aspirasi Kementerian Pendidikan.

“Penggunaan tablet ini dapat memberi manfaat kepada pendidikan dalam usaha selaras de­ngan Transformasi Negara 2050 (TN50) menjelang 2050,” kata­nya ketika berucap dalam majlis penutup Program Intervensi Projek Tablet Guru di Dewan Bestari PPD Manjung, Sitiawan, Perak, baru-baru ini.

Yang turut hadir Penasihat Pendidikan Utusan Malaysia, Dr. Ismail Zain; Pengurus dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim dan Penolong Pegawai Pendidikan (Teknologi Maklumat dan Komunikasi) Daerah Manjung, Mior Darul Ikram Kamarun Zaman.

Sementara itu, Mior Darul Ikram berkata, guru dibahagikan kepada empat ambilan dengan setiap sekolah diwakili dua wakil sebagai mentor atau fasilitator aplikasi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia di sekolah ma­sing-masing.

“Mereka akan berkongsi cara penggunaan serta menyebar luas aplikasi kepada guru-guru lain.

“Aplikasi ini satu alternatif tambahan dalam aspek persediaan pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc),” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wahid menyifatkan pendekatan PPD Manjung menjadi penanda aras yang wajar dicontohi dan Utusan Malaysia sedia menjalankan kolaborasi serupa dengan PPD di seluruh negara.