Timbalan Perdana Menteri berkata, antara kemudahan itu termasuk memasang pendingin hawa di surau dan dewan makan, melengkapkan perpustakaan digital dengan kemudahan 40 buah komputer riba dan menyediakan kemudahan televisyen LCD untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

Beliau berkata, peruntukan itu juga bagi menaiktaraf lima bilik darjah kepada bilik darjah abad ke- 21, menaiktaraf gimnasium kepada mini auditorim, mengecat 10 blok bangunan sekolah dan pembelian alat pembesar suara baharu.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, peruntukan itu adalah bukti keprihatinan kerajaan kepada sekolah-sekolah di negara ini termasuk yang berada di luar bandar.

"Ia juga  sejajar dengan dasar kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik.

“Tentunya sebuah kerajaan yang baik mempunyai sistem dan kita mengetahui bahawa sistem yang terbaik adalah sistem pendidikan kerana sistem pendidikan yang baik adalah ibu kepada segala sistem," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Tautan Kasih Selautan Harapan bersama warga Semesti hari ini. - UTUSAN ONLINE