Guru Sains Komputer St. John’s Institution, Wong Siew Fong berkata, sepanjang mengajar selama 30 tahun, dia tidak pernah berjumpa satu program pertandingan yang boleh disertai pelajar sampai ke hujung tahun.

“Oleh itu, saya memberi motivasi kepada pelajar tingkatan 1 sehingga tingkatan 5 untuk menyertai pertandingan ini dengan konsisten menghasilkan video pendek sehingga bulan Disember.

“Saya harap Utusan Malaysia dapat meneruskan pertandingan ini kerana pengetahuan tentang papan cerita, teknik rakaman dan suntingan bukan setakat untuk suka-suka kerana ilmu ini bukan sahaja berguna di sekolah malah sehingga ke universiti,” katanya.

Seramai 30 orang pelajar pelbagai tingkatan mengikuti sesi Penataran Video Pendek #muhibah yang memberi pendedahan mengenai pengetahuan asas penghasilan video pendek di sekolah itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam sesi itu, pelajar terus mempraktikkan pengetahuan yang dihantar dengan menghasilkan video pendek mengikut kumpulan dan dihantar sebagai penyertaan ke laman www.muhibah.my.

Bermula 1 Januari lalu hingga 31 Disember nanti, pertandingan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan ini terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah secara percuma dengan syarat utama penggunaan bahasa kebangsaan dalam video pendek bermesejkan perpaduan.

Empat video terbaik akan dipilih sebagai pemenang bulanan yang menawarkan hadiah RM1,000 bagi setiap pemenang tajaan Orando Holdings, sebuah syarikat harta tanah yang berhasrat mencungkil bakat muda dan mengetengahkan keharmonian Malaysia di luar negara.

Sementara itu, Eksekutif Pengurusan Jenama Utusan Melayu Berhad, Hazwan Hairul berkata, pertandingan berjalan lancar dan kualiti video yang dihantar peserta juga bertambah baik hasil kerjasama pelbagai saluran dengan pihak sekolah dan juga Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP).

“Taklimat dengan 100 guru media di BTP Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dua minggu lalu mula berhasil apabila mereka menggalakkan pelajar untul menyertai pertandingan ini,” katanya.