Pengarah Eksekutif FrogAsia Sdn. Bhd., Lou Yeoh berkata, Global Goals merupakan misi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bertujuan membasmi kemiskinan tegar, merapatkan jurang ketidaksamaan dan menangani perubahan iklim menjelang 2030.

“Dalam program itu, pelajar berpeluang menyertai bengkel, melontarkan idea dan mencari jalan penyelesaian tentang permasalahan global selain dapat menerokai pelbagai cabaran menyeronokkan selari dengan 17 misi utama Global Goals.

“Melalui usaha ini, peserta dapat merasakan mereka juga bo­leh membuat sesuatu bagi memenuhi keperluan sejagat de­ngan melakukan perubahan dan mengimaginasikan semula dunia mereka,’’ katanya dalam majlis itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara penceramah dalam persidangan ini termasuklah Pengasas dan Pengarah Eksekutif di Educate Girls, Safeena Husain, wakil Teaspoons of Change, d’Arcy Lunn dan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, pertubuhan sosial Extraordinary People Impacting Community (EPIC), John-Son Oei.

Sementara itu, bagi membuktikan komitmen FrogAsia dalam memperkasakan pelajar ke arah perubahan sosial, Anugerah Vinnie Chan diperkenalkan dalam persidangan itu bagi mengiktiraf pencapaian individu atau kumpulan yang telah membuat kelainan dalam masyarakat mereka dengan memperjuangkan Matlamat Global.

Menurut Yeoh, penerima anugerah akan diumumkan pada November ini dan bakal mene­rima hadiah Make a Difference dan sumbangan dana bagi membiayai projek sokongan kepada Global Goals.