Beliau diberi tanggungjawab menjadi pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rusila dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Rantau Abang pada 1988.

Ketika menceritakan pe­nga­laman itu, Mohamad ber­kata, kira-kira dua tahun menjelang persaraannya pada 2000, beliau telah diberi amanah untuk memikul tanggungjawab sebagai Pengetua SMK Rusila.

Menurutnya, pada masa sama, beliau yang berpengalaman serta berkebolehan dalam ilmu agama dan bahasa Arab, turut ditawarkan menjadi Pengetua SMKA Rantau Abang yang baharu sahaja dibuka.

“Ketika itu, saya juga dilantik sebagai pengetua pertama SMK Rusila dan tidak lama selepas itu, saya juga ditawarkan sebagai pengetua pertama SMKA Rantau Abang.

“Walau bagaimanapun, saya hanya mampu bertahan selama kira-kira tiga bulan sebagai Pengetua SMKA Rantau Abang sebelum diganti pengetua lain kerana faktor kekangan tugas di sekolah asal selain keperluan sebagai penceramah dan mengajar kelas al-Quran sekitar Kuala Terengganu. Lalu saya terpaksa lepaskan tugas itu (Pengetua SMKA Rantau Abang),’’ katanya.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Mat ditemui selepas majlis sambutan Hari Guru peringkat daerah di sini, baru-baru ini.

Bapa kepada sembilan anak yang tinggal di Kampung Rhu Rendang itu berkata, beliau bersyukur dengan anugerah tersebut dan kejayaan ber­kenaan didorong prinsipnya yang sentiasa bersyukur dan reda dengan apa sahaja kurnia­an Allah.

“Saya berpegang kepada amalan Nabi Sulaiman sampai bila-bila di mana setiap kurnia­an dan bala daripada Allah, ada ujian di sebaliknya. Allah nak uji kita bagaimana kita tangani sesuatu perkara dengan reda dan bersyukur.

“Selain itu, kita kena ta­nam­kan dalam diri agar sentiasa jujur dan konsisten dengan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita. Malah saya sering amalkan tiada jurang antara pemimpin dengan kakitangan bawahannya,’’ ujarnya.

Mohamad yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam Pengajian Bahasa Arab dan Tamadun Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulakan karier dalam bidang perguruan ketika berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Kuala Ibai pada 1968.

Tugas terakhirnya ialah sebagai Pengetua SMK Rusila selama dua tahun sebelum bersara pada 2000.