Dalam kenyataannya hari ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, biasiswa yang masing-masing enam untuk peringkat sarjana dan doktor falsafah tersebut adalah bagi calon dalam bidang pengajian sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.

Pemohon boleh mengisi borang dalam talian menerusi http://esilav2.jpa.gov.my dan tarikh ak­hir bagi mengemukakan permohonan ialah pada 15 Mac, demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, biasiswa terbuka kepada warga Malaysia berusia tidak melebihi 35 tahun pada tahun memulakan pengajian dengan keutamaan kepada mereka yang memperoleh purata nilai gred kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf di peringkat sarja­na muda atau sarjana.

“Keutamaan juga diberikan kepada calon yang mempu­nyai keupayaan luar biasa se­perti penguasaan pelbagai bahasa, kebolehan istimewa, aktif dalam aktiviti kemasyarakatan atau menghasilkan kerja-kerja kreatif dan inovatif serta telah mendapat tawaran atau memulakan pengajian di universiti penyelidikan tempatan atau universiti terkemuka di dunia.

“Calon-calon yang layak dan berjaya disenarai pendek akan melalui proses pemilihan termasuk temu duga,” demikian menurut kenyataan itu.

JPA berkata, penerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong adalah terikat untuk berkhid­mat di Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun.

“Penerima biasiswa yang te­lah menamatkan pengajian di luar negara diwajibkan pulang ke tanah air selepas tamat tempoh tajaan,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berkenaan boleh melayari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau menghubungi talian 03-8885 3546/3053/3438 pada setiap hari bekerja mulai 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada [email protected] – BERNAMA