Yang Dipertua MPSM, Dr Azman Huzir berkata, pihaknya dalam proses mengkaji strategi yang harus ada pada pentadbir untuk memastikan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 (PAK-21) dapat dipantau termasuk mengaplikasikan penggunaan Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif (CIDS) yang diba­ngunkan oleh bekas Pensyarah Cemerlang Gred Khas JUSA B, Ins­titut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Dr. Ismail Zain.

“Kajian ini penting agar PAK-21 dapat dipantau dan dilaksanakan oleh guru secara profesional serta sistematik seperti yang diperlukan dalam Stan­dard Kualiti Pendidikan Malaysia, Gelombang 2,” katanya dalam majlis tersebut.

Dr. Ismail dijemput khas untuk berkongsi pengaplikasian CIDS sebagai satu mekanisme untuk guru merancang PAK-21 dan memudahkan pihak pentadbiran memantau perancangan pengajaran guru.

Timbalan PPD Jerantut, Anuar Osman memberitahu, pihaknya amat mengalu-alukan pengaplikasian program ini.

“Kita harap aplikasi sistem ini bukan sahaja mampu meningkatkan lagi pemahaman guru tentang PAK-21 malah dapat mengurangkan bebanan serta masa guru dan proses mereka bentuk pengajaran,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) MPSM Jerantut, Gha­zali Maharudin berpendapat, program ini satu strategi bagi pengetua memantau pengajaran dan pemudahcaraan guru.

“Sebagai seorang pemimpin instruksional, pengetua boleh me­mimpin, menilai dan memantau perkembangan perancangan guru secara lebih terperinci di mana sahaja mereka berada ke­rana perancangan ini berbentuk dalam talian,” jelasnya.

Bagi Ismail Husian yang mewakili SISC+, CIDS jika diapli­ka­sikan akan memberi nilai tambah terhadap PAK-21 guru.

CIDS memberi satu alternatif ke­pada guru untuk merancang pe­ngajaran di peringkat makro dan mikro secara lebih profesional.

Sistem ini bukan sekadar Rancangan Pengajaran Harian Dalam Talian tetapi mempunyai asas yang kukuh dalam bidang reka bentuk pengajaran iaitu salah satu cabang ilmu Teknologi Pendidikan.

Untuk mengakses CIDS, layari https://asiemodel.net atau hubungi talian 019-5713745 untuk maklumat lanjut.