Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, rancangan untuk menukar fungsi institusi itu kepada sebuah kolej vokasional sememangnya perlu difikirkan semula memandangkan keputusan itu mungkin berasaskan fakta yang tidak tepat oleh kerajaan terdahulu.

Malah, katanya, kewujudan IPGKKB sebagai satu-satunya pusat latihan guru tunggal di negeri ini tidak sepatutnya diusik memandangkan sejarah dan peranan yang penting dimainkan sehingga kini.

"Saya yakin Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik adalah seorang yang berfikiran terbuka dan boleh menimbang perkara ini semula, cuma untuk mengubah sesuatu yang sudah menjadi keputusan kerajaan perlu kepada alasan yang kukuh.

"Pada tahap sekarang, kita sebenarnya wajar naiktaraf IPGKKB sebagai sebuah universiti pengajaran guru sepertimana Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), malah 37 daripada pensyarahnya kini sudah berkelulusan doktor falsafah (PhD).

"Selain tanggungjawab utama untuk melatih guru tempatan, IPGKKB juga boleh berperanan sebagai pusat bahasa Melayu untuk negara jiran seperti Thailand dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas Himpunan Alumni IPGKKB/MPKB dan Guru-guru Seluruh Kelantan di Dewan Wawasan IPGKKB di sini hari ini.

Pada majlis itu, beliau menerima memorandum bantahan usaha menukar fungsi IPGKKB kepada kolej vokasional daripada Pengerusi Alumni Pensyarah IPGKKB, Yaacob Ismail.

IPGKKB adalah salah sebuah IPG yang diumumkan ditukar fungsi kepada kolej vokasional dalam pembentangan Bajet 2017 di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu.

Sementara itu, Kamarudin berkata, beliau akan menggunakan pengaruh politik yang ada untuk menggesa Kerajaan Pakatan Harapan merubah rancangan itu yang turut melibatkan lapan buah IPG lain lagi.

"Tidak wajar dengan perkembangan dan pertambahan pelajar dan sekolah untuk kerajaan menutup IPG.

"Kita bukan menentang kewujudan kolej vokasional, tambah sahaja jika tidak cukup tetapi jangan tutup institusi lain yang penting,"katanya. - UTUSAN ONLINE