Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu sewajarnya menjadi mata pelajaran pilihan utama bagi pelajar aliran sastera. Kita tidak mahu pelajar hanya membaca buku teks hanya untuk lulus peperiksaan, tetapi apa yang lebih penting adalah penghayatan, pemahaman dan pelaksanaan dalam kehidupan mereka pada masa akan datang.

Bilangan pelajar, mutu pengajaran dan pemudahcaraan dalam mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mestilah juga berubah mengikut teknologi digital semasa.

Difahamkan di Selangor, sebanyak 103 buah sekolah menengah menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu sejak beberapa tahun dahulu kepada pelajarnya. Malah ada sekolah pada peringkat Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) juga menawarkan subjek Kesusasteraan Melayu kepada pelajar mereka.

Ia wajar dicontohi sekolah-sekolah lain di negara ini. Justeru, Kesusasteraan Melayu juga mestilah berubah mengikut perubahan masa kini dengan penggunaan teknologi digital yang berkembang maju.

Guru yang mengajar mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mestilah mempunyai kemahiran aras tinggi dalam bahasa Melayu dan juga minat dalam Kesusasteraan Melayu serta mampu menguasai kemahiran digital. Mereka juga sewajarnya boleh menyampaikan cerpen, petikan, novel, berdrama, bersajak, berpantun, bersyair dan bergurindam dengan gaya yang menarik. Ini akan dapat menarik minat pelajar bagi mengikuti subjek Kesusasteraan Melayu dan dapat mendidik nilai sahsiah dan keinsanan.

Di samping itu, pelajar Kesusasteraan Melayu juga mestilah diberikan keutamaan dalam pemilihan kerjaya kerana mereka ini terdidik dengan akal budi yang baik, mempunyai sifat-sifat amanah, integriti, bersopan santun dan berbudi pekerti tinggi. Sebabnya, melalui mata pelajaran Kesusasteraan Melayu semua unsur dan nilai ini diterapkan bukan hanya membaca teks untuk lulus peperiksaan.

Pendidikan melalui subjek Kesusasteraan Melayu bukan hanya untuk melahirkan mereka yang minat dalam kesusasteraan dan bahasa, malah akan melahirkan insan yang mempunyai panduan hidup dengan sifat-sifat terpuji bagi menjadikan mereka pekerja yang amanah, rajin dan berintegriti.

Dalam pemahaman dan penghayatan nilai-nilai sastera terselit sifat-sifat yang baik dan terpuji melalui novel, cerpen, drama dan puisi yang dipelajari. Antaranya, penerapan nilai takut kepada Allah SWT, sifat sabar, rajin berusaha, syukur, ikhlas dan benar, tawakal dengan kehendak Allah dan tidak melakukan rasuah.

Hal ini bertepatan dengan tujuan pendidikan Kesusasteraan Melayu itu sendiri iaitu memberi pelajaran dan hiburan dan juga memberikan ilmu pengetahuan dan pelbagai kemahiran yang diperlukan. Di samping itu, pelajar dapat mentafsirkan perkara-perkara yang sudah sedia diketahui umum, yang juga terdapat dalam teks sastera yang diajar dalam Kesusasteraan Melayu.

Tujuan Kesusasteraan Melayu juga akan menghidupkan daya imaginasi yang tinggi, menghidupkan semangat cinta negara dan patriotisme, menerapkan nilai insaniah, cinta akan keluarga, alam dan kepada Pencipta. Selanjutnya akan mendidik nilai-nilai murni dan menghidupkan inspirasi moral dan agama dalam diri pelajar.

Di samping itu, fungsinya sebagai hiburan pula melalui bahasa dan keindahan karya sastera akan dapat memberikan ketenangan atau kerehatan fikiran iaitu menghilangkan rasa penat, stres, keletihan selepas bekerja atau sebagainya. Ia juga akan memberikan kepuasan rasa dalam hati dan jiwa serta kecemerlangan intelektual yang tinggi melalui permainan bahasa dan unsur sastera dalam bentuk fantasi dan juga hiburan.

Hal ini sejajar dengan pandangan Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad yang mengatakan bahawa seorang sasterawan juga seorang pejuang. Tidak ada perjuangan tidak adalah rahmat yang sebenar.

Perjuangan yang dimaksudkan di sini adalah mendidik akal dan budi ke arah cintakan tanah air, mempunyai semangat patriotisme, cintakan kebenaran mencakupi semua bidang iaitu, politik, ekonomi, budaya, sosial dan juga kemasyarakatan. Pendidikan melalui subjek Kesusasteraan Melayu akan dapat menerapkan nilai-nilai yang baik ini.

Justeru, untuk membangun peradaban dan tamadun sesuatu bangsa itu memerlukan golongan mereka yang belajar dan meminati sastera dan budaya. Ia dibina melalui kemajuan dan pencapaian manusia melalui hidup miskin kepada kehidupan di bandar atau di kota. Selain itu, menggalakkan suatu proses untuk mencapai kemajuan atau kebaikan dalam hidup.

Sastera juga membangun peradaban dan tamadun hidup manusia dengan suatu kombinasi antara kemajuan aspek pemikiran, kerohanian, dan aspek material atau kebendaan yang seimbang. Ia juga menyumbang kepada keadaan kehidupan manusia yang berasaskan kepada ketinggian akhlak dan akal budi, serta budi pekerti atau penghayatan keagamaan dalam masyarakat.

Melalui Kesusasteraan Melayu akan membentuk suatu proses untuk mencapai kemajuan atau atau kebaikan dalam hidup. Ia melibatkan suatu kombinasi antara kemajuan aspek pemikiran, kerohanian dan aspek material. Sastera juga adalah cerminan masyarakat masa dulu, masa kini dan masa akan datang. Ia akan memacu ke arah kebudayaan yang baik dan pencapaian manusia dalam semua bidang.

Sesebuah karya seni seperti novel, cerpen, drama dan puisi secara tidak langsung mempunyai unsur mendidik akal budi yang bersifat mulia lagi berbudi. Selain itu, akan dapat membuka minda untuk melihat alam yang lebih luas sebagai guru dalam kehidupan pada masa depan.

Melalui teknologi digital mata pelajaran Kesusasteraan Melayu dapat diajar dengan menarik dan berkesan. Oleh itu, pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) subjek Kesusasteraan Melayu juga mestilah seiring dengan perkembangan teknologi digital. Siaran melalui pendidikan digital menawarkan lebih banyak pilihan yang menarik. Bahan daripada subjek Kesusasteraan Melayu dapat memberikan pelajar menggunakan kemudahan digital untuk memaparkan karya mereka di Internet iaitu melalui blog dan laman karya sastera.

Tegasnya, melalui subjek Kesusasteraan Melayu juga akan dapat mendidik pelajar berkaitan hubungan tamadun dengan agama, budaya dan bangsa di negara ini. Pengaruh agama, seni sastera, budaya dan sifat bangsa dengan ilmu pengetahuan yang tinggi dalam semua bidang akan menyumbang ke arah proses pembangunan dan pencapaian kemajuan dalam kehidupan manusia.