Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, pelancaran UiTMSat-1 membuktikan penyelidikan oleh saintis tempatan yang terdiri daripada pensyarah dan pelajar UiTM juga berkemampuan menjalankan penyelidikan di angkasa lepas.

“UiTMSat-1 merupakan satu projek yang sememangnya patut dibanggakan dan universiti lain di negara ini juga digalakkan mengikut jejak langkah UiTM untuk merancakkan lagi bidang kajian angkasa.

“Malah tidak mustahil kecemerlangan pelajar UiTM ini ditawarkan untuk membawa penyelidikan mereka ke ISS ke arah pembangunan industri angkasa yang dapat memberi inspirasi kepada manusia untuk menghasilkan satelit sama ada untuk berkomunikasi, satelit cuaca dan juga satelit penyiaran atau satelit navigasi,” katanya.

Siti Hamisah menjelaskan, kejayaan itu merintis usaha Malaysia dan UiTM dalam bidang sains angkasa ke arah perkembangan bidang sains dan teknologi dalam kehidupan seharian dan industri dalam menggerakkan negara ke arah persaingan global.

“Taniah diucapkan kepada pelajar UiTM, Muhammad Hasif Azami dan Syazana Basyirah Mohamad Zaki atas kejayaan mereka itu,”katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Hasif berkata, melalui UiTMSat-1 data yang diperoleh daripada satelit itu akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan kajian dan penyelidikan.

“Satelit ini mempunyai enam misi antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

“Selepas setengah jam satelit berada di ruang angkasa, kita sudah boleh mengumpul data-data yang diperlukan selaras dengan misi satelit itu,” katanya.