Pavithra adalah antara 1,796 graduan yang menerima ijazah dalam konvokesyen yang memasuki hari ketiga hari ini.

Gadis berusia 24 tahun ketika ditemui mengakui dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah kerana ditinggalkan ketika dia berusia satu tahun.  

Suka atau tidak, mereka terpaksa menerima hakikat dan melalui liku-liku perjalanan yang penuh dengan duri secara bersendirian.

Menceritakan perjalanan hidupnya mendapat segulung ijazah, Pavithra memberitahu, sebagai anak sulung, dia terpaksa bangun seawal pukul 3.30 pagi setiap hari untuk membantu ibunya untuk membuat nasi lemak dan kuih-muih.

“Perjalanan hidup kami tidak sebegitu mudah, ayah tinggalkan kami sekeluarga di saat kami benar-benar memerlukannya. Waktu itu saya baharu berusia satu tahun dan adik lelaki saya masih dalam kandungan ibu.

“Pun begitu, saya selalu ingat pesanan dan impian ibu untuk melihat saya berjaya pada satu hari dan pendidikan adalah satu-satunya landasan ke arah itu,” kata graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua) ketika ditemui di sini hari ini.

Ditanya mengenai gelaran Miss Malaysian India 2018, Pavithra berkata, sejak mendapat gelaran itu, dia sedikit sibuk kerana perlu menghadirkan diri dalam program-program sosial. -UTUSAN ONLINE