Sehubungan itu, Presiden dan pengasas Universiti Limkokwing, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, kewujudan institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia di negara ini perlu memainkan peranan yang lebih besar dalam mempromosi dan memartabatkan pendidikan negara ke tahap tertinggi sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Bidang pendidikan yang dilaksanakan hari ini dilihat telah berjaya memperkasa kualiti pendidikan Malaysia pada peringkat global. Ini dibuktikan dengan kejayaan demi kejayaan serta pengiktirafan yang diterima Malaysia atas sistem pendidikan tinggi yang berkualiti yang membolehkan negara bersaing dalam ekonomi dunia.

“Dengan kejayaan dan pengiktirafan itu, universiti awam dan swasta Malaysia mampu mempromosikan negara sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. Universiti Limkokwing turut memainkan peranannya mempromosikan Malaysia di 160 buah negara di seluruh dunia dan yang paling membanggakan Universiti Limkokwing berjaya bertapak dan membuka empat cawangan universiti di Afrika Selatan. Antaranya di Botswana, Lesotho, Swaziland dan Sierra Leone,” katanya.

Kok Wing berkata, mendepani usaha global itu, Universiti Limkokwing turut memainkan peranan secara berkesan untuk merencana kejayaan pada peringkat antarabangsa yang melibatkan aspek urus tadbir, kepimpinan, akademik, pembelajaran dan pengajaran serta pembangunan penyelidikan.

“Selain itu, Universiti Limkokwing turut melaksanakan perluasan akses dan mengukuhkan ekuiti, meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran, kajian dan penyelidikan, memantapkan institusi pendidikan tinggi, pengantarabangsaan, pembelajaran sepanjang hayat dan sistem penyampaian,” katanya.

Selain itu, Kok Wing berkata, semua institusi pengajian tinggi perlu lebih kreatif dan inovatif selaras dengan pelan tindakan tersebut bagi menyahut cabaran globalisasi.

Katanya, institusi juga perlu memantapkan kualiti pengajaran dan pembelajaran melalui penyelidikan untuk dikongsi oleh masyarakat dan industri.

“Dalam konteks ini, kerjasama menang-menang antara universiti dan industri perlu diberi penekanan membabitkan bidang tertentu yang boleh memberi kebaikan bersama.

“Institusi pengajian tinggi juga seharusnya bersifat proaktif dalam meneroka bidang-bidang baharu melalui kerjasama strategik sama ada dengan syarikat tempatan mahu pun antarabangsa.

“Kami memberi tumpuan khusus untuk meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran universiti bagi mencapai misi melahirkan siswazah yang benar-benar berdaya saing pada peringkat global,”katanya.

Sementara itu, Kok Wing berkata, bukan mudah untuk menjadi sebuah universiti terbaik di Asia dan beroperasi sebagai sebuah pusat sehenti dalam melaksanakan kegiatan pemasaran dan mempromosi perkhidmatan pendidikan serta latihan secara bersepadu, selain bertindak sebagai pemudah cara tunggal bagi melaksanakan urusan yang melibatkan pelajar-pelajar antarabangsa di seluruh dunia dengan baik.

“Hari ini kita menyaksikan sesuatu yang nyata, sebuah universiti di Asia diiktiraf dan dihormati malah Universiti Limkokwing dilihat mahu mewujudkan satu budaya dalam sistem pendidikan dunia yang mengiktiraf dan menghargai kreativiti serta menggalakkan budaya inovasi dalam sistem pendidikan di negara ini,” katanya.