DR. AMIN SENIN
DR. AMIN SENIN

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Datuk Dr. Amin Senin berkata, sebelum ini ibu bapa lebih mudah menerima dan meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada para guru untuk mendidik pelajar mengikut apa yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Pendidikan.

"Tetapi kini mereka (ibu bapa) kebanyakannya mempunyai tahap pendidikan yang lebih baik dan sangat peka dengan perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara dan sering mempersoalkan tentang perkara itu.

"Oleh itu pendekatan sekarang sangat berbeza dan guru-guru perlu yakinkan ibu bapa tentang mengapa perlu ada perubahan-perubahan yang berlaku dalam sistem pendidikan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai Pembelajaran dan Pembangunan Guru (ICTLD) di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika berucap, Amin berkata usaha atau dasar kerajaan dalam memperkasakan sistem pendidikan negara tidak akan berjaya sekiranya para guru tidak berusaha merealisasikannya.

Sehubungan itu, Amin berkata, para guru perlu menunjukkan komitmen yang tinggi dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana kejayaan mereka turut diukur melalui pencapaian para pelajar.- BERNAMA