Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd. Suhaimi Mohamed Ali berkata, tujuan utama pihaknya menganjurkan simposium tersebut bersama Utusan Malaysia adalah untuk memperjelaskan konsep Merangkai Titik-Titik dalam transformasi pendidikan abad ke-21.

“Saya menaruh kepercayaan penuh bahawa melalui penganjuran simposium ini diharapkan pendidik dapat menjelaskan strategi baharu dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) yang lebih bermakna dan berimpak tinggi.

“Melalui simposium ini warga pendidik juga didedahkan kepada penataran dan pengaplikasian Modul 10 Minit Perhimpunan dan Sistem Reka Bentuk Pengajaran Kolaboratif kepada pendidik dan murid,” katanya ketika berucap dalam Simposium Merangkai Titik-Titik (Connecting The Dots) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas.

Dalam perkembangan lain, Mohd Suhaimi berkata, IPG Kampus Ilmu Khas akan terus komited meneroka penemuan-penemuan baharu dalam kaedah PdPc melalui pelbagai bidang termasuklah pendidikan khas.

Bukan itu sahaja, ujar beliau, pihaknya turut bertanggungjawab sebagai pusat kecemerlangan kemahiran berfikir yang banyak menyebar luas pengaplikasian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) di dalam PdPc kepada komuniti pendidik.

“Terkini IPG Kampus Ilmu Khas membangunkan Modul 10 Minit Perhimpunan yang merupakan aktiviti `kurikulum tidak berpakej’ bertujuan mencetuskan budaya berfikir murid termasuk guru yang dilaksanakan sewaktu perhimpunan mingguan sekolah,” katanya.

“Dengan kerjasama Utusan Malaysia, Modul 10 Minit Perhimpunan akan diterbitkan di dalam akhbar Utusan Pelajar pada setiap minggu bermula Januari 2017,” katanya.