Presiden Alumni NCUK Malaysia, Megat Shah Rizal Noor Ikhsan berkata beliau teruja apabila penantian selama 30 tahun untuk menubuhkan alumni sendiri akhirnya berjaya direalisasikan.

Jelasnya lagi, penubuhan alumni itu, bukan sahaja dapat mengumpulkan bekas-bekas pelajar tetapi juga mampu memberi sumbangan kepada pelajar NCUK yang sedang mengikuti pengajian ketika ini dan akan datang.

“Jika kita katakan penglibatan kita masih boleh membantu generasi akan datang untuk membuat keputusan yang lebih bijak dan dapat membangunkan generasi baharu rakyat Malaysia, mengapa tidak?,” katanya.

Alumni tersebut berjaya ditubuhkan dengan bantuan Sekolah Antarabangsa Fairview Kuala Lumpur yang merupakan satu-satunya pusat yang diamanahkan oleh NCUK untuk menyediakan program asas di Malaysia.

Program ini telah bermula 30 tahun yang lalu dengan sokongan kerajaan Malaysia.

Sejak itu, program NCUK telah berkembang ke 14 negara seperti Jepun, Rusia, Ireland, United Kingdom dan telah diiktirafkan oleh Universiti of Manchester sebagai antara program asas yang terbaik.

Naib Presiden NCUK, Mohd. Yuri Md. Khalili berkata bahawa penubuhan alumni adalah langkah positif bagi semua yang terlibat.

“Saya fikir ia bagus bagi kita untuk mewujudkan persahabatan yang baik dalam kalangan alumni. Kami datang daripada pelbagai latar belakang dan profesion.

“Dan anda tidak akan berasa janggal untuk bertanya pendapat, cadangan daripada rakan anda kerana anda mempunyai platform ini. Itulah sebabnya saya merasakan hubungan ini sangat penting kepada alumni,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE