Timbalan Pengarah (Pemba­ngunan) Mara negeri, Zul Bahri Hamzah berkata, beliau berterima kasih kepada Utusan Malaysia kerana menganjurkan pelbagai aktiviti seperti Bengkel Wartawan Kadet, gerai jualan buku harga runtuh, cabutan bertuah serta aktiviti putar dan menang.

“Kesemua aktiviti itu pastinya dapat menceriakan KPM 2017 di sini seperti yang kita dapat lihat hari ini semasa Bengkel Wartawan Kadet.

“Cuma kita mengharapkan pa­da masa akan datang Utusan Malaysia mempelbagaikan program dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung ke KPM,” katanya ketika ditemui pada penganjuran karnival berkenaan di kompleks beli belah Berjaya Me­gamall, di sini hari ini.

Terdahulu, Zul Bahri menyertai Bengkel Wartawan Kadet yang disampaikan oleh Pengarang Beri­ta Utusan Malaysia, Saiful Haizan Hasam.

Bengkel berkenaan disertai kira-kira 70 orang yang terdiri daripada penuntut universiti awam dan swasta di negeri ini.

Pada bengkel tersebut, Saiful Haizan memberi gambaran sebenar tugas kewartawanan termasuk berkongsi pengalamannya bertugas di dalam dan luar negara sepanjang 13 tahun menjadi wartawan.

Saiful Haizan menjelaskan, seseorang wartawan bukan sahaja perlu melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan, malah harus bersedia dari segi minda bagi menghadapi apa jua kemungkinan terma­suk dikritik oleh orang ramai.

Sementara itu seorang peserta, Ahmad Shaqiman Shaa'ri, 19, gembira apabila berpeluang mengikuti bengkel berkenaan dan mendengar sendiri pengalaman wartawan terutama dalam melaksanakan tugasan di luar negara.

“Menyertai bengkel ini merupakan pengalaman menarik yang membuatkan saya berpuas hati dan semakin tertarik dengan bidang ini,” katanya.