Menteri Pendidikan,  Dr. Maszlee Malik berkata, sehubungan itu beliau bercadang untuk bertemu dengan semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, para pejuang bahasa di negara ini bagi membincangkan soal tersebut yang makin mendapat tentangan meluas.

Menurut beliau, UEC merupakan sebahagian daripada janji Pakatan Harapan (PH) dalam  manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan apa yang  perlu dilakukan ialah perlu mengambil kira pandangan beberapa pihak terlebih dahulu sebelum pengiktirafan dibuat.

"Isu pengiktirafan UEC ini tidak boleh dilihat sebagai sijil kemasukan semata-mata tetapi perlu juga mengambil kira isu Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, selain isu perpaduan dan keharmonian. 

"Sebagaimana pernah saya nyatakan sebelum ini, saya perlu bertemu dengan semua pihak, bukan sahaja daripada golongan pendidikan kaum Cina tetapi juga dengan golongan pejuang bahasa kebangsaan dan juga mereka yang terlibat dengan urusan menjaga perpaduan.

"Bagi menjaga keharmonian, kita inginkan sekiranya UEC diiktiraf nanti, ia tidak akan menjejaskan perpaduan dan pada masa yang sama tidak menggadaikan bahasa kebangsaan," ujarnya  kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Seberang Marang, di sini hari ini.

Beliau mengadakan lawatan mengejut bagi meninjau projek membaik pulih bangunan sekolah berkenaan yang terbengkalai sejak tahun lepas.

Yang turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Mohd Adnan Salleh.

Pelbagai pihak termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) menggesa kerajaan negeri Melaka menarik kembali pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) yang diumumkan minggu lalu.

Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari,  mengumumkan pengiktirafan UEC sebagai syarat kelayakan membolehkan pemegangnya memasuki perkhidmatan awam negeri itu.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dilaporkan berkata, isu paling utama ialah UEC tidak memiliki syarat am terpenting, iaitu kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan  lulus mata pelajaran Sejarah pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

GAPENA menyifatkan langkah yang akan memporak-perandakan sistem dan struktur sedia ada itu bercanggah dengan Akta Pendidikan 1996 yang secara jelas menggariskan kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.

UEC yang dikeluarkan oleh sekolah persendirian Cina yang sukatan pelajarannya diambil dari Taiwan dikatakan  tidak selari dengan silibus yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.-UTUSAN ONLINE