KENYATAAN akhbar Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin susulan aduan pengasingan pelajar Tingkatan Satu mengikut agama di sebuah sekolah di Kota Kinabalu, Sabah. - UTUSAN ONLINE

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Amin Senin berkata, jabatan berkenaan telah menjalankan siasatan dan mengambil beberapa tindakan termasuki memberi amaran kepada pengetua sekolah tersebut.

"Pengurusan sekolah juga telah diarahakan untuk membuat tindakan pembetulan segera dengan merombak semula pengagihan murid di kelas berkaitan.

"Penyusunan semula jadual waktu bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral telah dilaksanakan serentak bagi semua kelas Tingkatan Satu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tegas Amin, semua pengetua dan guru besar diingatkan supaya lebih peka terhadap sensitiviti masyarakat dalam melaksanakan pengurusan dan pentadbiran di sekolah.

"Jabatan Pendidikan Sabah akan membuat pemantauan berterusan ke atas semua sekolah bagi memastikan kejadian ini tidak berulang," katanya.

Dua hari lalu, portal Sabah News Today melaporkan satu kutipan petisyen atas talian terhadap sekolah tersebut dibuat susulan pengetuanya mengasingkan enam kelas Tingkatan Satu mengikut agama, iaitu dua kelas untuk pelajar Islam manakala selebihnya bukan Islam.

Petisyen itu bagi mendesak Kementerian Pendidikan mengambil tindakan membetulkan semula keadaan kerana perbuatan pengetua itu seolah-olah menafikan integrasi antara pelajar berlainan agama. - UTUSAN ONLINE.