Bagi mendukung Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (Pendidikan Tinggi) 2015-2025, WUC telah menggariskan sembilan strategi utama yang bertujuan untuk mewujudkan rantaian-nilai yang menyeluruh bagi memperkasa bidang akademik, sistem tadbir urus, kewangan, prasarana, hal ehwal pelajar, jaringan industri serta penyelidikan dan inovasi.

Pelbagai langkah telah diambil bagi mengukuhkan institusi agar dapat menjadi institut pengajian tinggi yang berkualiti, bertaraf antarabangsa serta dapat melahirkan professional cemerlang di peringkat global.

Pelbagai fakulti telah pun diwujudkan untuk memberi peluang bakal pelajar meneroka bidang dan pengajian yang mempunyai daya boleh pasaran yang tinggi. Beberapa program baru juga sedang dirangka seperti program Ijazah Sarjana Muda Farmasi, Sarjana Muda Keusahawanan, Sarjana Muda Perakaunan, Sarjana Muda Kewangan Islam dan lain-lain.

Manakala bagi bakal pelajar yang meminati jurusan perubatan, kejururawatan dan sains kesihatan bersekutu, kurikulum yang bersepadu telah dirangka oleh pihak fakulti bagi melahirkan graduan yang berkualiti, terlatih dan kompeten bagi menyokong sistem penyampaian kesihatan negara.

Sepanjang tempoh pengajian, tumpuan diberikan kepada aspek teori, praktikal di dalam kelas dan makmal serta latihan klinikal di hospital kerajaan, farmasi komuniti dan industri.

Program MBBS telah mendapat kelulusan Malaysian Qualifications Agency (MQA) dan Malaysian Medical Council (MMC) dan kumpulan pelajar pertama akan bergraduat pada Sep­tember tahun ini. Di samping itu, WUC juga mempunyai pensyarah-pensyarah dalam kalangan doktor pakar yang amat berpengalaman dalam bidang masing-masing dari dalam dan luar negara.

Program Diploma Kejururawatan mendapat keputusan peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia seratus peratus selama tiga tahun berturut-turut. Mereka juga dilatih dalam pengurusan bencana, rawatan trauma pra-hospital dan perubatan sukan. Kesemua program Sains Kesihatan Bersekutu yang ditawarkan oleh WUC telah mendapat akreditasi penuh dari MQA dan diiktiraf oleh Lembaga Profesional masing-masing.

Menurut Naib Canselor WUC, Mejar Jeneral Prof. Datuk Dr. Mohd Zin Bidin, “WUC menyediakan program yang berkualiti dan mempunyai kebolehpasaran yang luas. Program-program perubatan dan sains kesihatan mempunyai kualiti yang tinggi dan diaudit berdasarkan piawaian badan-badan profesional negara.

“Pelajar dilatih dalam suasana kondusif oleh pensyarah yang berpengalaman agar menjadi graduan yang berkemahiran, cekap, berdisplin serta seimbang dari aspek fizikal, emosi, rohani dan intelek. Dengan mengambil kira perkembangan teknologi semasa, WUC telah membuat pelaburan dalam menyediakan prasarana-prasarana terkini agar para pelajar didedahkan dengan teknologi terbaru.”

Graduan yang mengikuti program di WUC juga mempunyai peluang pekerjaan yang luas sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Terdapat juga antara mereka yang kini telah bekerja di luar negara seperti di negara Timur Tengah, Singapura, Arab Saudi dan Brunei. Sebarang pertanyaan berkenaan, orang ramai boleh berhubung dengan WUC di talian 09-573 7777, fax 09-573 8899 atau layari laman sesawang www.widad.edu.my untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.