Presiden dan Pengasas Universiti Limkokwing, Prof. Eme­ritus Tan Sri Dr. Lim Kok Wing berkata, kewujudan institusi pengajian tinggi awam dan swasta Malaysia yang ditunjangi kerajaan hari ini berjaya meletakkan martabat pendidikan negara ke tahap tertinggi sebagai antara yang terbaik di dunia.

“Bidang pendidikan yang di­laksanakan kerajaan hari ini dilihat telah berjaya memperkasakan kualiti pendidikan negara di peringkat global.

“Ini dibuktikan dengan kejayaan demi kejayaan serta pengiktirafan yang diterima Malaysia atas sistem pendidikan tinggi berkualiti yang membolehkan negara bersaing dalam ekonomi dunia.

“Kejayaan dan kepercayaan itu juga meletakkan Universiti Limkokwing antara universiti terbaik swasta di Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Kok Wing berkata, sistem pendidikan di negara ini diiktiraf antara terbaik di dunia hasil komitmen kerajaan yang menjadikannya sebagai agenda utama dalam memperkasakan pendidikan berkualiti.

Menurut Kok Wing, matlamat dan visi itu telah tercapai apabila kerajaan mengiktiraf Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran ke arah membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi pada tahun 2050.

Katanya,TVET menjadi penanda aras penting bagi memastikan pembangunan negara ke arah yang lebih mampan dan berdaya maju.

Beliau berkata, TVET juga bakal melahirkan modal insan Malaysia yang seimbang dan tidak bergantung kepada tenaga asing berkelayakan di samping memastikan generasi masa depan Malaysia 2050 terus terbina sebagai masyarakat berpengetahuan teknologi tinggi.

“Pelajar di peringkat universiti dan sekolah menengah di negara seperti Jepun, Kanada dan Austria menjurus lebih banyak kepada pendidikan TVET.

“Ini kerana, negara-negara berkenaan menyasarkan melahirkan sejumlah besar ahli teknologi, pekerja mahir dan separa mahir yang bakal menjadi pemangkin ke arah pertumbuhan ekonomi mereka,” katanya.

Sementara itu Kok Wing berkata, Malaysia memerlukan modal insan terbaik bagi menyokong pembangunan industri dan penguasaan teknologi bagi mengelakkan kebergantungan kepada teknologi dan kemahiran dari Barat.

“Pendidikan tinggi di negara ini telah memulakan penglibatan dalam industri berasaskan teknologi tinggi seperti automotif, aeroangkasa, teknologi makanan, elektronik, farmaseutikal dan lain-lain, maka penyediaan sebilangan besar modal insan terlatih, profesional dan berkemahiran harus dijadikan agenda utama negara,” katanya.