Isnin lalu, anak kepada pasangan penoreh getah itu tersenyum lebar menatap keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2018 miliknya; 5 Prinsipal A bagi setiap subjek diambil iaitu Pengajian Am, Bahasa Melayu, Pengajian Perniagaan, Geografi dan Ekonomi.

Bapa, G. Mariappan, 47, dan ibu, M. Muniamma, 54 pula turut tersenyum lebar melihat anak gadis mereka naik ke atas pentas di Putrajaya bagi menerima pengiktirafan sebagai antara 10 pelajar terbaik STPM 2018 peringkat kebangsaan.

Menurut anak bongsu daripada tiga beradik itu, tekad mahu mengubah nasib keluarga yang miskin menyebabkan dia tidak kisah berulang-alik ke sekolah yang terletak sejauh 30 kilometer dari rumah demi menimba ilmu.

“STPM memang pilihan utama saya untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah dalam bidang perakaunan sebab saya dari keluarga susah. Dengan bimbingan guru yang berpengalaman membuatkan saya lebih bersemangat dan rajin untuk belajar.

“Saya ingat nasihat bapa saudara yang menyatakan hanya dengan pelajaran sahaja yang dapat mengubah nasib keluarga. Saya satu-satunya dalam keluarga yang berjaya memperoleh anugerah seperti ini, saya gembira kerana dapat membuat ibu dan bapa rasa bangga,” katanya.

Dia ditemui pemberita ketika diraikan di SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (1), di sini hari ini.

Dhivya Janani dalam pada itu memberitahu, dia meluangkan masa untuk mengulangkaji pelajaran selama enam jam setiap hari selain tidak pernah malu bertanya pada guru atau rakan jika berdepan kemusykilan.

Selain Dhivya Janani, kebanggaan warga SMK Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) berganda apabila seorang lagi pelajarnya, Wee Chin Seng turut dinobatkan sebagai pelajar terbaik STPM 2018.

Chin Seng berkata, kunci kejayaanya adalah benar-benar memberi fokus ketika di dalam kelas.

“Saya memang akan beri tumpuan sepenuh masa ketika berada di dalam kelas,jika belajar di rumah pula saya tidak akan mengambil masa yang lama untuk ulangkaji cukup sekadar memahami subjek yang dipelajari pada hari itu,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mahmud Paduka Raja (1) Kamaruzaman Zakaria berkata, kecemerlangan kali merupakan hasil kerjasama erat guru yang berpengalaman di sini dalam memberi komitmen yang ikhlas dalam pengajaran.

“Jumlah calon STPM 2018 di sekolah ini adalah seramai 111 pelajar. Pelajar yang mendapat CGPA 4.0 adalah seramai enam orang dan peratus lulus pula 100%,” katanya. - UTUSAN ONLINE