Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Aminudin Adam berkata, kementerian percaya hasrat tersebut dapat direalisasikan menerusi ekosistem pembe­lajaran yang selamat, berhala tuju dan mendidik.

Beliau berkata, konsep pembe­lajaran yang menyeronokkan te­lah dilaksanakan di semua sekolah secara meluas dan tidak terhad kepada pembelajaran dalam bilik darjah semata-mata.

Situasi tersebut sekali gus menepati enam aspirasi murid yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

“Ekosistem pembelajaran abad ke-21 perlu wujud secara menyeluruh dan bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai, komponen penting dalam mewujudkan ekosistem ini ialah budaya sekolah, prasarana; penglibatan ibu bapa dan komuniti; guru yang profesional serta proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang berkesan.

“Pentadbir sekolah yang berkesan akan berupaya menggembleng komponen tersebut untuk menghasilkan pembelajaran yang kondusif, menyeronokkan; memberi aspirasi dan inspirasi kepada murid untuk datang ke sekolah setiap hari dengan perasaan gembira dan seronok untuk belajar," katanya dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Menurut Aminudin, kementerian telah memperkenalkan Program Sekolah Penyayang pada 2012 bagi mewujudkan budaya penyayang dalam kalangan guru di sekolah, guru akan memiliki sikap kepedulian terhadap setiap perkara berkaitan murid selain menganggap murid adalah aset penting sekolah.

“Setiap guru akan membuda­yakan amalan penyayang, mereka juga akan mengamalkan sikap profesional dalam hubungan dengan murid, ibu bapa dan juga masyarakat. Hubungan baik antara guru dan murid dapat mengekang gejala ponteng sekolah, sikap melawan dan meningkatkan minat untuk ke sekolah,” katanya.

Sebagai contoh, pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Renggit, Batu Pahat dan SK Taman Scientex, Pasir Gudang di Johor telah menggunakan idola adiwira dan kartun kegemaran kanak-kanak untuk menyambut murid-murid di hari pertama bagi sesi persekolahan pada tahun ini.

“Suasana tersebut telah membantu mengurangkan tekanan hari pertama persekolahan, murid-murid menjadi lebih seronok serta bersemangat menjalani sesi persekolahan terutamanya bagi murid tahun satu. Pelaksanaan program tersebut secara betul dan sistematik akan menjamin suasana pembelajaran yang ceria dan selesa.

“Kaedah PdP juga dirancang dengan teliti bagi menyediakan murid dengan kemahiran berkomunikasi, berkolaboratif, berfikir secara kritis dan kreatif. Pendekatan itu akan memberi keselesaan dan keseronokan kepada murid dalam aspek emosi dan membina keyakinan diri serta berani berbincang dan berinteraksi dengan guru,” katanya.

Selain itu katanya, dalam konteks kurikulum, terma pembelajaran yang menyeronokkan merujuk kepada kaedah PdP yang bersifat santai dan menyeronokkan dalam keadaan terkawal yang mana murid-murid berpeluang belajar dalam suasana berbeza untuk menimbulkan minat suka belajar dan berinteraksi dengan aktif.

Katanya, guru yang menggunakan pendekatan pembelajaran menyeronokkan akan menekankan persekitaran yang menarik secara terancang dan menyelitkan unsur keseronokan.

Justeru akan wujud suasana santai, menarik, menghiburkan, bermakna dan memikat yang dapat membantu memperkukuhkan pemahaman murid sekali gus mendorong mereka untuk belajar.

“Kreativiti guru penting untuk memastikan proses PdP berlangsung dalam suasana yang menyeronokkan, ceria dan berkesan. Justeru proses PdP akan menimbulkan cabaran rasa ingin tahu, imaginasi, kerjasama, persaingan secara sihat dan juga pengiktirafan," katanya.

KPM telah memperkenalkan kaedah Flipped Classroom (FC) untuk prasekolah. Pembelajaran ini bermula di rumah dengan pendedahan kandungan isi pem­belajaran dilakukan oleh ibu bapa sebelum murid-murid belajar di sekolah.

“Sebanyak 10 buah kelas prasekolah telah dijadikan kumpulan rintis FC pada 2015, seterusnya kaedah tersebut diperluaskan ke­pada satu kelas FC bagi setiap daerah pada tahun lalu. Model FC prasekolah telah disesuaikan de­ngan keperluan pendidikan prasekolah dengan ibu bapa memainkan peranan untuk memberikan pengetahuan awal.

“Guru akan memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga tentang objektif pembelajaran dan makluman tersebut dilakukan mengikut kesesuaian sekolah dan ibu bapa. Pada masa kini, interaksi yang paling popular antara guru dan ibu bapa berlaku melalui media sosial seperti aplikasi Whatsapp,” katanya.

Aminudin berkata, sesi pem­belajaran di sekolah menjadi satu sesi yang aktif. Murid diberikan tugasan berbentuk projek atau penyelesaian masalah, kaedah ini memberi peluang kepada guru untuk memberi bimbingan secara berfokus kepada murid yang memerlukan bantuan khusus.

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi nilai tambah kepada pelaksanaan FC kerana guru berpeluang memberi pendedahan penggunaan ICT kepada murid.

“Pemantauan pelaksanaan FC mendapati murid lebih cepat menguasai kemahiran yang digariskan dalam kurikulum kerana suasana pembelajaran menyeronokkan dan kaya dengan pengalaman yang hampir kepada kehidupan sebenar, manakala guru juga boleh merancang aktiviti terbaik untuk murid,” katanya.

Dalam pada itu katanya, ber­­­dasarkan kejayaan tersebut, kementerian berhasrat memperluaskan ka­edah FC ke­pada murid-murid tahun satu dalam masa terdekat.
 “Kejayaan sistem pendidikan di Finland dan Jepun menunjukkan unsur pembelajaran yang men­yeronokkan amat penting dalam membina dan mendidik generasi masa hadapan.

“Oleh itu, kami menyeru ma­s­yarakat untuk bersama-sama men­jayakan hasrat bagi memacu kecemerlangan pendidikan negara,” katanya.