Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penetapan syarat tersebut adalah selaras untuk memantapkan lagi Tabika KEMAS agar lebih baik selari dengan Transformasi Luar Bandar berbanding dengan pusat pendidikan awal kanak-kanak lain terutama milik swasta.

“Pada masa kini sebanyak 65 peratus daripada kira-kira 11,046 Pemaju Masyarakat di seluruh negara berkelulusan diploma atau lebih tinggi dan saya yakin jumlah tersebut akan mencapai 100 peratus dalam tempoh empat tahun lagi,

“Bagi mencapai sasaran itu, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan menghantar Pemaju Masyarakat yang tidak mempunyai kelulusan diploma untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Kolej Ketengah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika KEMAS Peringkat Kebangsaan di Kolej Matrikulasi Pahang di Gambang, Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Menurut Ismail Sabri, sejak 2006 kerajaan telah menyediakan peruntukan yang tinggi untuk menghantar Pemaju Masyarakat mengikuti pengajian di peringkat lebih tinggi bagi membolehkan mereka mendapat Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

“Lanjutan daripada itu, selepas menamatkan pengajian, mereka akan dilantik ke gred S29. Selain itu, bagi yang sedang berkhidmat dengan gred rendah turut diberi peluang untuk mengikuti pengajian melalui program Kursus Dalam Cuti (KDC) di IPG.

“Bagi mereka yang memiliki ijazah atau diploma bukan program pendidikan awal, kita akan menghantar mereka ke Institut Latihan KEMAS untuk mendapatkan sijil pendidikan awal,” jelasnya.

Tambah Ismail Sabri, selain memperkasakan Pemaju Masyarakat pihaknya juga akan memperkenalkan tiga modul utama iaitu Program Penghayatan Pendidikan Islam, Pemupukan Semangat Patriotik dan Keyakinan Diri.

“Usaha berkenaan adalah selaras dengan Transformasi Tabika Berprestasi Tinggi supaya kualiti pusat pendidikan awal kerajaan itu ditingkatkan,” jelasnya.