Program itu yang bermula September ini, memilih enam penuntut kumpulan pertama untuk mengikuti program tersebut yang mene­rima biasiswa daripada UOG berjumlah 10,000 pound (RM55,000) seorang dan peluang masih dibuka untuk pemohon yang berminat.

Timbalan Pengetua (Akademik dan Pendidikan Inovasi) UOG, Prof. Frank Coton berkata, pihaknya menawarkan ke­seluruhan biasiswa berjumlah 150,000 pound (RM825,000) untuk program ijazah berkembar (Double Degree) MBA-MSc Euro-Asian di universiti berkenaan.

Menurutnya, penuntut terpilih akan belajar selama setahun di GSB serta setahun lagi di UOG dan apabila selesai pengajian, mereka bakal menerima dua ijazah iaitu MBA, USM dan MSc dari UOG.

“Kerjasama ini melatih pemimpin generasi akan datang dalam perniagaan untuk menjadi lebih bertanggungjawab dan memahami cabaran bekerja dalam persekitaran global serta mengekalkan kelestarian ilmu perniagaan.

“Kerjasama ini sangat pen­ting dan UOG hanya mewujudkan jaringan dan perkongsian yang dinilai kepentingan serta dapat memberi perubahan kepada masyarakat. Pada masa ini, kami mengurangkan bilangan rakan kongsi global,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani memorandum perjanjian (MoA) antara USM, UOG serta USM dengan Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia, di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail melahirkan keyakinan usaha dan komitmen tersebut dapat mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan selain meningkatkan lagi jalinan hubungan dan persahabatan antara institusi tersebut.

“Saya berharap peluang sebegini tidak akan dipersia-siakan dan merebut potensi untuk memperluaskan kerjasama dengan lebih dari dua universiti atau dua bandar seperti Pulau Pinang-Bandung-Glasgow,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Dekan, Kuliah Perniagaan dan Pengurusan ITB, Prof. Dr. Ir. Utomo Sarjono Putro berkata, penawaran program tersebut diharap dapat membantu ahli perniagaan untuk memahami lebih banyak tentang perniagaan di peringkat ASEAN.

“Program yang ditawarkan USM dan ITB adalah Dwi Ijazah ASEAN MBA yang mana penuntut belajar di Sekolah Pengurusan Perniagaan di ITB dan juga pem­belajaran dalam talian bersama pensyarah GSB, USM di Pulau Pinang,” katanya.