Institusi tersebut yang dimiliki oleh kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan, menawarkan program pengajian sepenuh masa bagi peringkat diploma dan sijil.

Pengarahnya, Aznur Anuar Ab. Azid berkata, KKKK sentiasa membuka peluang kepada para pelajar lepasan SPM khususnya yang tidak memperoleh tawaran melanjutkan pengajian di mana-mana pusat pengajian tinggi, untuk memohon kursus tersebut.

Beliau berkata, kursus Sijil Pastri dan 'Diploma in Patisserie' itu menawarkan pengambilan pelajar bagi sesi kemasukan Jun dan Disember pada setiap tahun.

“Syarat kemasukan untuk kursus Sijil Pastri ialah lulus SPM termasuk lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. Pemohon juga mestilah terdiri daripada warganegara Malaysia dan yuran pengajian ialah RM200 satu semester.

“Bagi pelajar yang terdiri daripada keluarga kurang berkemampuan, kemudahan bantuan kewangan akan diberikan kepada pelajar yang layak,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Aznur berkata, bagi pelajar yang ingin mengikuti pengajian dalam Diploma in Patisserie pula perlu lulus Sijil Kolej Komuniti atau lulus SPM dengan mendapat sekurang-kurangnya kepujian bagi tiga matapelajaran.