Kumpulan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejurutera­an Teknologi (Kepujian) Mekanikal (Au­tomotif) dan Ija­zah Sarjana Muda Kejuruteraan Teknologi (Kepujian) Pembuatan (Automotif)dari Universiti Kuala Lumpur Malaysian Spa­nish Institute (UniKL MSI), Kulim, Kedah itu melahirkan rasa bangga apabila inovasi bidang penorehan getah berjaya menarik minat juri di Seoul International Invention Fair (SIIF) 2017.

Cabaran yang me­reka hadapi bukan calang-calang kerana Korea dikatakan tidak mempunyai sebarang kepentingan dengan produk getah seperti Malaysia dan Thailand, namun strategi ‘pengaruh’ yang mereka tampilkan semasa sesi pembentangan, telah berjaya membawa mereka merangkul pingat perak pada festival itu.

Produk yang diberi nama MeMGA itu berfungsi sebagai mesin penoreh automatik dengan menggunakan mata alat untuk menghasilkan kedalaman longkak po­kok getah 0.5 milimeter (mm) berbanding yang kebiasaannya 0.2mm.

Teknologi yang mengambil masa lebih setahun untuk pembikinannya itu dipercayai akan meningkatkan produktiviti getah selain mengaplikasikan teknik torehan yang betul dan tidak melukakan batang pokok.

MeMGA juga dipercayai dapat menarik minat golongan mu­da untuk meningkatkan kebolehpasaran bidang tersebut yang dilihat pada masa ini hanya dimonopoli penoreh veteran dan penduduk kampung.

Pensyarah Kanan Seksyen Pembuatan UniKL MSI, Mohd. Riduan Ibrahim, 37, berkata, idea tersebut diperolehi selepas beliau mendapati kebanyakan teknik penoreh tidak menepati piawaian yang menyumbang kepada penurunan kualiti dan produktiviti getah.

Lantaran itu katanya, beliau menghasilkan produk ber­­­kenaan dengan bantuan beberapa pelajarnya untuk mengetengahkan produk itu sebelum memenangi pelbagai pertandi­ngan di peringkat negeri termasuk memenangi Pertandingan Inovasi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi dan memenangi geran bernilai RM50,000 bagi menambah baik produk tersebut.

“Selain MeMGA, UniKL yang julung kali menyertai pertandi­ngan itu turut memenangi pingat emas melalui ciptaan produk EZ Reel iaitu produk bagi membantu pihak bomba memudahkan proses menggulung hos dan pada masa sama dapat membuang sisa air yang bertakung di dalamnya,” katanya.

Mohd. Riduan berkata, idea mencipta produk EZ Reel terhasil setelah melihatkan permasalahan yang dialami pihak bomba semasa melakukan kerja-kerja menggulung hos selepas mema­damkan kebakaran.

Jelasnya, produk tersebut juga berjaya mendapat beberapa anugerah di peringkat kebangsaan dan sekali lagi kehebatannya diiktiraf apabila dianugerahkan pingat emas di SIIF 2017.

Program anjuran Korea Invention Promotion Association (KIPA) di bawah Organisasi Harta Intelektual Dunia (WIPO) dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan-persa­tuan Pencipta (IFIA) yang berlangsung selama empat hari bermula 30 November lalu itu me­nyaksikan lebih 630 produk dari 30 negara dipertan­dingkan.

Antara negara yang mengambil bahagian ialah Poland, Pe­rancis, Amerika Syarikat, Bosnia, Yemen, Ghana, Jepun, Le­banon, China, Jerman, Vietnam, Singapura, Rusia, India, Iran, Taiwan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Thailand, Indonesia, Mexico dan Uzbekistan.

Dalam program itu, seba­nyak 179 ciptaan dari 120 syarikat Korea Selatan dipamerkan dan The International Invention & Business Pavillion turut mempamerkan 20 ciptaan daripada pereka antarabangsa yang juga pengusaha berpengaruh di negara itu.

Sementara itu, peserta per­tandingan, Amar Husaini Adnan, 23, berkata, dia yang bertanggungjawab membentangkan pro­duk itu berasa sungguh bangga meskipun berhadapan masalah komunikasi kerana juri tidak boleh berbahasa Inggeris.

“Kita perlu mendapatkan khid­mat penterjemah dan mereka agak kurang minat dengan produk menoreh getah tetapi ilmu pembentangan yang diterap­kan oleh pensyarah yang digunakan membantu meningkatkan keyakinan juri.

“Cabaran memang besar sebab hampir semua peserta yang menyertai pertandingan ini merupakan penyelidik dan pensyarah bergelar Doktor dan Profesor sedangkan saya hanya pelajar tahun akhir di UniKL MSI,” jelasnya.

Seorang lagi peserta, Rahmatullah Suleiman, 25, berkata, dia merupakan pelajar pertama yang membantu Mohd. Riduan mencipta produk itu dan berbangga hasil ciptaan itu berjaya ‘terbang’ hingga ke peringkat antarabangsa.

“Kita turut bangga ada pelabur dari Thailand menunjukkan minat terhadap produk ini yang sekali gus menunjukkan ba­nyak lagi inovasi negara ini boleh dipasarkan,” jelas Jurutera Penyelenggaraan di sebuah syarikat swasta itu.

Nama peserta UniKL MSI

l Amar Husaini Adnan, 23

l Rahmatullah Suleiman, 25

l Muhamad Termizi Muhamad, 25

l Wan Ahmad Fadhli Wan Abdul Rashid, 25

l Atiqurahman Amran, 24

l Ahmad Salihin Baseri, 25