Mereka yang terdiri daripada 12 pelajar dari Fakulti Pengurusan Perniagaan UKM itu bukan sahaja menzahirkan sikap mahasiswa yang prihatin malah turut memperkenalkan Program Braille 2018 yang sangat bersistematik.

Ujar Pengerusi persatuan tersebut, S. Arwin Raj, Program Braille 2018 diperkenalkan bagi memberikan kesedaran dalam kalangan orang awam mengenai keperluan tertentu dan kesusahan yang dihadapi oleh golongan yang mengalami masalah penglihatan.

“Bagi merealisasikan usaha yang dirancang selama ini, Vision is Love mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak yang berpusat di Kuching, Sarawak.

“Sehubungan itu, Vision is Love turut menjalankan beberapa kempen kesedaran awam bagi mengutip sumbangan orang ramai untuk disalurkan kepada Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Jelas Arwin Raj lagi, Program Braille 2018 mendapat penyertaan lebih 20 orang buta bersama ahli keluarga dan program tersebut berjaya mengutip sumbangan bernilai RM7,500 serta beberapa kemudahan diri asas seperti tongkat, bantal, tilam dan juga selimut.

Majlis penyerahan sumbangan tersebut telah diadakan di Pusat Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak dan yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak, Ying Ten Ping serta setiausahanya, Ms. Annie.

Pusat Persatuan Bagi Orang Buta Sarawak menempatkan lebih 20 individu cacat penglihatan dan di pusat itu, program untuk membuat kraftangan dengan mengunakan rotan, penghasilan alas kaki dan pelbagai kemahiran untuk orang buta ada disediakan. – UTUSAN ONLINE