Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif GiatMara, Jabar Azman Jaafar berkata, pihaknya telah memilih sebuah maahad tahfiz di setiap negeri sebagai perintis program itu dengan menyediakan kursus selama setahun hingga setahun setengah.

Pada masa ini, katanya, persiapan untuk menjalankan program itu juga telah diuruskan dengan baik selain proses penyediaan modul dan kelengkapan juga telah disempurnakan.

“Buat permulaan, kita akan mengadakan kursus pendek selama tiga hari kepada pelajar bagi memberi pendedahan kepada mereka.

“Program itu diadakan bagi meningkatkan kemahiran pe­lajar tahfiz serta menyediakan pelajar yang bukan sahaja memiliki ilmu berkaitan al-Quran tetapi juga kemahiran berbentuk teknikal,” katanya kepada pemberita selepas maj­lis Gradua­si GiatMara Pulau Pinang di sini hari ini.

Perasmian majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Tambah Jabar Azman, pi­haknya juga sedang meneliti sama ada kursus-kursus yang ditawarkan nanti akan dijalankan di GiatMara atau membawa tenaga pengajar ke maahad tahfiz terlibat.

Dalam perkembangan berkai­tan, beliau menjelaskan, GiatMara kini sedang menjalankan usahasama dengan syarikat pembuatan komposit aeroangkasa, Composites Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM) bagi melatih pelajar berkaitan industri pembuatan terbabit.