Pengetua SMK Kuala Besut, Che Soh Che Mat berkata, pihaknya menerima jemputan menerusi e-mel untuk membentangkan projek kesedaran nuklear dalam Kongres Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom) di Saint Petersburg pada 27 dan 28 Ogos ini.

“Pasukan yang diketuai Ketua Bidang Sains Matematik sekolah, Faizul Abd Raman berhasrat menerima pelawaan daripada Pengurus Projek Pusat Kerjasama Pelajar dan Siswazah Rosatom itu, namun jawapan rasmi belum diberikan kepada mereka.

“Pihak kami juga telah memaklumkan kepada pihak Rosa­tom agar mengemukakan su­rat jemputan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan terlebih dahulu,” katanya.

Anggota KuBest Innovation Team yang mengharumkan na­ma negara di Korea Selatan dan dijemput ke Rusia ialah Muhammad Syazwan Mat Sidik, Muhammad Anuar Abd Ghani masing-masing berusia 17 tahun dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16.

Dalam pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Korea Selatan, mereka berjaya menewaskan peserta dari negara maju antaranya Amerika Syarikat, Jepun dan tuan rumah, Korea Selatan.

Menurut Che Soh, ekoran kejayaan itu, Rusia yakin serta tertarik dengan kebolehan pasukan KuBest Innovation dan jemputan ini satu penghormatan besar kepada negara dan sekolah.

“Penganjur juga bersetuju membiayai tiket penerbangan pelajar terbabit bersama seorang guru pengiring selain menanggung penginapan dan makan minum di Rusia nanti,” ujarnya.