Terbaharu, tiga daripada pelajarnya mewakili negara ke pertandingan The 13th International Standards Olympiad di Yongin, Korea Selatan selama tiga hari mulai esok yang menguji pencapaian mereka di persada dunia apabila turut bersaing dengan pelajar dari negara-negara maju.

Nik Nurasilah Nik Aziz, Najah Bahrin Shah dan Muhammad Amar Haqim Ramli yang kesemua berusia 15 tahun dipilih setelah mendapat tempat pertama dalam saringan penulisan esei mengenai keselamatan di lapangan terbang yang dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (Standard Malaysia).

Guru pembimbing, Ahmad Ridhuan Azman berkata, program yang dijalankan di peringkat negara dan antarabangsa itu bagi meningkatkan kesedaran generasi muda mengenai kepenggunaan standard dan kepentingannya terhadap kehidupan seharian rakyat.

“Dalam erti kata lain, ia memberi peluang kepada pelajar untuk mereka cipta sesuatu inovasi yang mampu digunakan secara global dan menyeluruh.

“Penyertaan dalam pertandingan ini ditaja oleh pihak Korean Agency For Technology and Standards (KATS) yang mengelolakan pertandingan ini di peringkat antarabangsa mulai 2015.

Pertandingan bertujuan memupuk kesedaran meluas di kalangan pelajar peringkat menengah di seluruh dunia mengenai standard dan sumbangan terhadap kehidupan yang lebih selesa dan selamat.

Salah seorang peserta, Najah ketika ditemui semalam menyatakan rasa teruja untuk berlepas ke Korea Selatan.

“Apa yang perlu kami reka belum diketahui kerana soalan dan arahan akan diberikan pada hari pertandingan nanti, yang pasti kami perlu mereka cipta suatu produk untuk kegunaan global yang praktikal dan mudah dipakai,” kata Najah.

Sementara itu, tiga lagi pelajar sekolah itu turut terpilih mewakili negara ke program Kennedy Lugar Youth Exchange and Study di Amerika Syarikat pada awal Januari tahun depan.

Mereka terdiri daripada Alia Shahirah Shamsuddin, Che Ku Nur Umairah Che Ku Mohd Mazuki dan Abdul Musalif Mohd Bukhori. -UTUSAN ONLINE