ABDUL AZIZ ABU BAKAR
ABDUL AZIZ ABU BAKAR 

Lebih membanggakan, ciptaan itu yang mampu mengupas kulit bawang sebanyak 2 kilogram dalam tempoh 10 hingga 15 minit dinobatkan sebagai juara pertandingan bagi kategori produk inovasi jabatan politeknik tersebut hari ini.

Empat pelajar semester 5 Diploma Kejuruteraan Mekanikal politeknik itu yang dianggotai Muhammad Naszimi Mohammad; Muhammad Syahirul Haq Mohd. Niza; Nisa’ Imanina Mohd. Jamil dan Petrus anak Bunsi mengalahkan 82 kumpulan lain yang menyertai program Pertandingan Inovasi, Persidangan dan Pameran Kerjaya Politeknik Melaka (I3CE) yang diadakan di sebuah hotel di sini petang ini.

Penyelia kumpulan itu, Muhammad Faiz Jofri berkata, pasukan pelajar terbabit mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menghasilkan mesin itu yang menggunakan kuasa elektrik untuk memisahkan kulit bawang.

“Idea untuk menghasilkan mesin berkenaan merupakan hasil kajian pelajar berkenaan untuk membantu usahawan IKS khususnya dalam mempercepatkan proses mengasingkan kulit bawang selain menjimatkan kos dan masa.

“Saya kagum dengan usaha mereka yang tidak kenal putus asa dan terus mencuba meski pun pernah gagal namun akhirnya mampu menghasilkan mesin tersebut,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian penutup program I3CE oleh Pengarah Politeknik Melaka, Abdul Aziz Abu Bakar.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah (Akademik) Politeknik Melaka, Hilmun Mohamed; Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) politeknik itu, Mohd. Ariffin Aman dan Pengarah program, Mohd. Azamri Kandari.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika ditemui berkata, politeknik itu akan mempatenkan ciptaan tersebut sebelum mencari peluang mengkomersialkan mesin berkenaan.

“Program seperti ini diadakan setiap tahun tetapi kali ini kita gabungkan pertandingan rekaan inovasi, persidangan dan pameran kerjaya di mana lebih 600 pelajar berpeluang memperoleh manfaat daripada tiga acara yang diadakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE